Banteras sindiket jualan dokumen habis-habisan: Hamzah

Hamzah Zainuddin. - Foto Bernama
Hamzah Zainuddin. - Foto Bernama
A
A
A
TAIPING - Sindiket penjualan dokumen pengenalan palsu di negara ini yang membimbangkan memerlukan penguatkuasaan lebih aktif untuk membanterasnya secara besar-besaran, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, ahli sindiket terbabit yang didalangi orang tempatan perlu ditangkap kerana tindakan mereka itu menyebabkan warga asing mampu tinggal di negara ini bertahun lamanya tanpa dokumen yang sah.

"Untuk masuk Malaysia mesti ada dokumen. Masalah di sini, orang kita yang terlibat dalam sindiket dan mengenakan bayaran...mereka menipu dan bawa lari duit.

"Akhirnya ada (warga asing) yang tinggal di sini sampai 20 hingga 30 tahun tanpa dokumen sehingga tidak mahu pulang ke negara asal...kemudian mereka meminta taraf kerakyatan. Ini saya marah, mereka (ahli sindiket) perlu ditangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara pendaftaran perkahwinan dan penyerahan dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini pada Rabu.
Artikel Berkaitan:


Sebelum ini, polis menumpaskan beberapa sindiket termasuk melibatkan presiden sebuah parti politik yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan pengeluaran kad pengenalan.

Antaranya berkaitan sindiket penipuan dengan menawarkan kad data lengkap berkod QR yang didakwa membolehkan pemohon memiliki kad pengenalan Malaysia (Mykad). - Bernama