[VIDEO] SPRM hadir pejabat Rafizi ambil dokumen

SPRM.
SPRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Invoke Solutions Sdn. Bhd susulan laporan yang dikemukakan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) minggu lalu mengenai nilai aset bersih RM18.85 juta milik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Selasa.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah hadir di pejabat syarikat tersebut bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan ke atas syarikat itu.

Menurutnya, kehadiran beberapa pegawai SPRM ke pejabat Invoke Sdn Bhd kira-kira jam 11.30 pagi itu merupakan prosedur biasa sekiranya sesuatu siasatan dijalankan.

"Kesemua dokumen diambil untuk dikaji, susulan dari laporan yang dikemukakan oleh sebuah NGO mengenai aset Rafizi.

"Bagaimanapun, tiada keterangan mana-mana individu diambil sebaliknya hanya mendapatkan penerangan berkaitan dokumen yang diperoleh tersebut," katanya pada Rabu.

Katanya, tindakan selanjutnya akan diambil bergantung kepada dokumen yang diteliti.

Pada Selasa, Rafizi mendakwa syarikatnya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Wangsa Maju di sini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan itu kerana mendakwa sudah mendedahkan skandal membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion berserta bukti sebelum ini, namun perkara itu tidak disiasat SPRM.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, SPRM memaklumkan akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan Rafizi, susulan satu laporan yang dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengisytiharan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu.