PRU15: Pengurusan pengundian sistematik

Suasana di Pusat Pengundian Awal Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2, Melaka bagi kerusi Parlimen Tangga Batu pada Selasa.
Suasana di Pusat Pengundian Awal Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2, Melaka bagi kerusi Parlimen Tangga Batu pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara melibatkan anggota keselamatan dan pasangan pada Selasa berjalan lancar dan selamat, biarpun negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19.

Pengurusan pengundian yang bersistematik di 578 pusat mengundi awal termasuk kehadiran pegawai kesihatan, pematuhan ketat bagi pengundi positif Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka dan amalan penjarakan fizikal membantu dalam mengurangkan risiko penularan wabak tersebut.

Anggota pasukan keselamatan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka dilihat berkumpul sejak awal pagi di pusat mengundi sebelum pengundian bermula pada jam 7 pagi.

Di ibu negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Seri Azri Ahmad antara yang mengundi di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany serta isteri masing-masing mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn di dalam Parlimen Setiawangsa.

Acryl Sani berkata, seramai 118,815 warga PDRM dan pasangan di seluruh negara melaksanakan tanggungjawab mengundi awal dan pos.

Bagi undi awal yang berlangsung pada Selasa, ia melibatkan seramai 113,625 orang manakala undi pos seramai 5,190 orang.

“Di peringkat Bukit Aman sahaja melibatkan 6,423 pengundi awal manakala 1,511 adalah undi pos.

Artikel Berkaitan:

“Pemantauan mendapati suasana undi awal ini berlangsung dalam keadaan teratur,” katanya ketika ditemui selepas undi awal di Bukit Aman di sini pada Selasa.

Di PUTRAJAYA, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, seramai 1,386 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera mengundi di dua pusat pengundian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, dengan pengundi positif Covid-19 turut dibenarkan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Di SELANGOR, proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membabitkan 1,818 anggota dan pegawai bagi Parlimen Shah Alam termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, manakala Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, 796 anggota dan pegawai IPD Klang Selatan menunaikan tanggungjawab mereka.

Di MELAKA, seramai 10,097 melibatkan 7,911 anggota tentera dan 2,186 pasangan mengundi awal, manakala 2,504 pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka di 24 pusat mengundi membabitkan 932 pengundi di IPK Melaka, IPD Melaka Tengah (722 pengundi), IPD Alor Gajah (623 pengundi) dan IPD Jasin (227 pengundi).

Di NEGERI SEMBILAN, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Jeneral Datuk Mohd Saifulisham Baharun berkata, seramai 15,048 anggota tentera dan pasangan masing-masing di seluruh negeri terlibat dalam proses pengundian awal yang membabitkan tujuh pusat mengundi.

Di JOHOR, tinjauan di beberapa lokasi antaranya Markas Batalion 6, PGA, Bakri; Markas 7 Bridged Kem Mahkota, Kluang; Batalion 10, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Majidee, Batu Pahat; menyaksikan anggota polis dan tentera serta pasangan datang seawal jam 7 pagi untuk menunaikan tanggungjawab termasuk Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang mengundi di IPK Johor.

Di PERAK, seramai 31,291 orang pengundi awal iaitu 12,215 warga PDRM dan 19,076 anggota tentera terlibat untuk mengundi di 72 pusat mengundi antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM dan Sekolah SK Pangkalan TLDM dan SK Pangkalan TLDM 2.

Di TERENGGANU, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sembilan anggota polis disahkan positif Covid-19 dan mereka dinasihatkan supaya hadir mengundi di saat akhir bagi mengelakkan kesesakan serta pertembungan dengan anggota yang lain.

Pusat pengundian awal di seluruh negara ditutup pada jam 5 petang dan sejumlah 224,828 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis serta pasangan.

Turut diadakan serentak ialah pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.

Kertas undi akan disimpan di lokap balai polis dan dikira pada Sabtu ini bermula jam 4 petang di tempat pengiraan yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen calon masing-masing.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi DUN di Pahang, Perlis dan Perak serta Bugaya di Sabah.