Muhyiddin tegaskan PN takkan kerjasama dengan gabungan lain

Muhyiddin bertemu orang ramai semasa program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, Johor Bahru, pada Selasa.
Muhyiddin bertemu orang ramai semasa program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan gabungan politik lain untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PN memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU15 adalah tidak benar sama sekali.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mencabar Anwar mengemukakan bukti tuduhan tersebut selain menyifatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gemar membuat pelbagai dakwaan untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

"Apa bukti (PN dan BN berpakat). You don’t just make allegation without basis (anda jangan membuat tuduhan tanpa asas).

"PN kini bertanding secara nyata melawan BN. Kita menyerang antara parti, jadi apa bukti dakwaan Anwar itu. Anwar suka buat dakwaan sama macam Rafizi (Ramli).

"Tuduhan ini tidak lain untuk pengaruhi pengundi PN kononnya berpakat-pakat dengan BN padahal ia tidak berlaku pun. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa buktinya. Saya cabar dia buktikan dan tolong jawab," katanya kepada pemberita pada program Sembang Petang Bersama Abah di Taman Sri Stulang, di sini pada Selasa.

Media pada Selasa melaporkan, Anwar mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU15.

Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu membuat rancangan berkenaan selepas masing-masing dikatakan ketinggalan dalam persaingan PRU15, ketika hari mengundi berbaki empat hari lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika berucap, Muhyiddin berkata, satu jajaran lebuh raya merentasi kawasan pantai dari Selangor ke Johor Bahru bakal dibina sekiranya PN diberi mandat menubuhkan kerajaan baharu.

"Jajaran lebuh raya itu akan memudahkan pergerakan orang ramai, khususnya pelancong untuk datang ke Johor, yang sekali gus akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat," ujar beliau.

Menurut bekas Perdana Menteri kelapan itu, agenda pembangunan tersebut boleh dilaksanakan jika PN memerintah.

Beliau mendakwa kini melihat satu gelombang sokongan terhadap PN yang menggegarkan bermula di Perlis dan semakin menghampiri Johor Bahru.

"Jika Perikatan Nasional memerintah kerajaan pusat dengan sokongan pengundi dan saya dilantik menjadi Perdana Menteri, mudahlah pembangunan dilaksanakan.

"Menteri Besar Johor sekarang daripada UMNO akan berjumpa saya dan memohon pelaksanaan projek pembinaan jalan. Tapi, kita (PN) akan buat lebuh raya pesisir pantai dari Lembah Klang ke Johor jika menang," katanya.

Muhyiddin yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh juga berjanji menyelesaikan isu yang dihadapi antara rakyat dengan kerajaan Johor pimpinan UMNO sekarang ini sekiranya membentuk kerajaan pusat.

Muhyiddin turut mengingatkan pengundi supaya membandingkan manifesto yang ditawarkan PN dengan manifesto parti lain.

"Tawaran Perikatan Nasional lebih baik daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH)," katanya.