Tempoh ‘bulan madu’ Speedy Tigers berakhir

The Speedy Tigers akan kembali menjalani latihan pusat bermula Khamis sebagai persiapan menghadapi Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember depan. - Foto Bernama
The Speedy Tigers akan kembali menjalani latihan pusat bermula Khamis sebagai persiapan menghadapi Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember depan. - Foto Bernama
A
A
A

TEMPOH ‘bulan madu’ skuad hoki lelaki negara yang masih segar dengan kejayaan bersejarah merangkul kejuaraan sulung Piala Sultan Azlan Shah 2022 sudah berakhir.

Ini kerana The Speedy Tigers akan kembali menjalani latihan pusat bermula Khamis sebagai persiapan menghadapi Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember depan.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, pihak pengurusan memberi pelepasan kepada para pemain untuk berehat selama hampir seminggu selepas mengakhiri tugasan di Ipoh, Perak Khamis lalu.

Beliau berkata, fizikal dan emosi para pemain perlu berada pada tahap terbaik sebagai persiapan Speedy Tigers untuk berdepan tugasan penting selepas ini.

“Bulan madu sudah tamat. Buat masa ini, kita pentingkan setiap pemain berehat sambil berlatih sendiri, emosi amat penting bagi mereka kerana selepas ini ada tugasan penting.

“Menjadi keutamaan agar emosi mereka berada pada tahap terbaik untuk membuahkan prestasi yang diharapkan. Itu yang pengurusan beri lebih masa bersama keluarga,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Malaysia mencipta sejarah apabila menjuarai Piala Sultan Azlan Shah kali pertama sejak ia mula diperkenalkan pada 1983 selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam aksi final pada Khamis lalu.

Mirnawan berkata, kejayaan muncul juara Piala Sultan Azlan Shah amat penting bagi menyuntik semangat Malaysia menghadapi kejohanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Penting untuk kita tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan akhir. Perasaan selepas memenangi perlawanan akan menyedarkan para pemain mengenai hard work pays.

“Ini akan memotivasikan mereka untuk sentiasa bekerja keras bagi meraih kejayaan lagi dan mereka akan tahu kerja keras bukan sia-sia tetapi berbaloi apabila kemenangan dicipta,” ujarnya.

Pada Piala Negara-Negara, skuad kendalian Arul Selvaraj itu diundi dalam Kumpulan B bersama Kanada, Jepun dan Korea Selatan.

Selepas Piala Negara-Negara, Malaysia akan menghadapi kempen Piala Dunia 2023 di India dari 13 hingga 29 Januari sebelum menyertai Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September tahun depan.