PRU15: 'Belum tentu bajet dapat dilaksana pentadbiran baharu'

Ismail Sabri (dua dari kiri) bersama Tengku Zafrul (tiga dari kiri) pada program Sembang Santai Anak Muda Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor pada Isnin.
Ismail Sabri (dua dari kiri) bersama Tengku Zafrul (tiga dari kiri) pada program Sembang Santai Anak Muda Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengundi bahawa kesilapan memilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memberi kesan terhadap Bajet 2023 yang telah dibentangkan sebelum ini.

Menurutnya, jika BN menang, belanjawan tersebut akan dibentangkan semula bagi memastikan perancangan kewangan teratur, namun jika pengundi silap memilih, bajet berkenaan belum tentu dapat dilaksanakan oleh pentadbiran baharu.

Sehubungan itu katanya, rakyat diminta tidak mudah tertipu dengan janji palsu khususnya daripada pihak yang tidak mampu menunaikan janji sebagaimana berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Kita kalah pada PRU14 kerana ada pengundi hendak mencuba kerajaan baharu, tetapi 22 bulan Pakatan Hadapan (PH) memerintah, tiada pembaharuan dibawa bukan sahaja di Kuala Selangor, negeri Selangor tetapi di seluruh Malaysia," katanya ketika berucap pada Sembang Santai Anak Muda Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di sini pada Isnin.

Turut hadir, calon BN mewakili kerusi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, rakyat boleh membuat perbandingan semasa pemerintahan BN selama 60 tahun berbanding pentadbiran PH dalam tempoh 22 bulan.

"Kita jangan tertipu lagi dengan pembangkang dan jika kita diberi peluang, pelbagai insentif diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023, untuk golongan belia pastinya akan diteruskan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri meluahkan rasa kecewa apabila beberapa menteri di dalam kabinetnya digugurkan daripada senarai calon Parlimen BN pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, keputusan parti menyingkirkan nama-nama besar itu dibimbangi memberi kesan kepada keputusan pada PRU15.

Ujarnya, beliau yakin jika nama-nama besar itu dicalonkan mereka sudah tentu berpotensi dan merupakan calon 'winnable candidate' di kawasan Parlimen masing-masing.

"Saya percaya Tan Sri Noh Omar bila bertanding di Tanjong Karang pasti menang dan dari segi ramalan kawasan dia (Noh) adalah putih, memang boleh menang.

"Begitu juga dengan Tan Sri Annuar Musa calon boleh menang di Ketereh dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif di Jempol serta beberapa nama lagi nama besar tidak dicalonkan memang boleh menang," katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, pemimpin BN yang tidak tercalon pada PRU15 tidak mengambil tindakan bertentangan dengan parti dan kembali memenangkan BN.