Calon TPM belum dibincang: Ismail Sabri

Ismail Sabri dan calon Khairy Jamaluddin ketika hadir pada Program Ramah Mesra bersama Perdana Menteri dan Calon BN bagi Parlimen P.107 Sungai Buloh di Uptown Damansara hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri dan calon Khairy Jamaluddin ketika hadir pada Program Ramah Mesra bersama Perdana Menteri dan Calon BN bagi Parlimen P.107 Sungai Buloh di Uptown Damansara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BULOH - Calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekiranya BN menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum dibincang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Calon DPM (TPM) kita belum bincang lagi, calon daripada UMNO, Sabah, Sarawak, semua keputusan selepas kita menang,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra penduduk sekitar Sungai Buloh di Uptown Damansara, di sini, malam ini.

Terdahulu, beliau menyantuni pengunjung di kedai makan Real Tom Yam di lokasi berhampiran, yang turut disertai calon BN Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut merayu pengundi di Parlimen Sungai Buloh supaya mengundi Khairy yang juga Menteri Kesihatan.

Khairy, penyandang Parlimen Rembau berdepan saingan tujuh penjuru di Sungai Buloh termasuk Ramanan Ramakrishnan dari Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 pada 19 Nov ini.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau menerima apa sahaja jawatan yang bakal diberi dalam Kabinet sekiranya BN diberi mandat oleh rakyat sebagai kerajaan selepas PRU15.

"Saya ada hubungan baik dengan PM (Perdana Menteri), saya akan sentiasa menyokong beliau dalam Kabinet dalam apa jua jawatan. Saya sentiasa menyokong apa sahaja keputusan PM untuk beri saya apa sahaja jawatan,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kempennya setakat ini, Khairy berkata, beliau melihat peluangnya memenangi hati pengundi atas pagar dan pengundi PH sebelum ini cerah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkara itu jelas dilihat melalui pemerhatiannya semasa berkempen dan beramah-mesra bersama penduduk kawasan terbabit.

"Banyak perkara yang perlu dilesaikan di sini, saya harap dengan kehadiran saya di sini, saya dapat menyelesaikan masalah terbabit,” katanya. - Bernama