PRU15: Tanpa Shahidan, JR Wanita BN Arau tidak terjejas

Shahrizat (tiga kiri) beramah mesra dengan Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN di Tambun Tulang, Arau pada Isnin.
Shahrizat (tiga kiri) beramah mesra dengan Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN di Tambun Tulang, Arau pada Isnin.
A
A
A

ARAU - Gerak kerja jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN Parlimen Arau tidak terjejas meskipun bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perjuangan wanita BN adalah tulen untuk parti demi agama, bangsa dan negara dan bukan tertumpu kepada individu semata-mata.

"Pada mula saya berasa risau apabila mendengar mengenai perkara ini (Shahidan dan isu penggantungan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau), bagaimana keadaan jentera wanita (BN) di Arau.

"Terkejut melihat ramai wanita datang dengan semangat yang begitu berkobar-kobar. Ini semangat kental wanita.

"Saya melihat mereka ini ahli UMNO dan BN yang tulen. Mereka hanya fokus kepada perjuangan parti sahaja dan letak semua emosi ke tepi. Bagi mereka, ini adalah masa untuk memenangkan parti," katanya kepada pemberita di Tambun Tulang, di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin digantung sementara atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada PRU15.

Terdahulu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu hadir memberikan kata-kata semangat kepada JR Wanita BN Parlimen Arau.

Dalam perkembangan sama, Shahrizat turut mengingatkan JR Wanita BN supaya tidak bersikap sambil lewa walaupun yakin mampu mempertahankan kemenangan di negeri Perlis.

Artikel Berkaitan:

"JR Wanita BN adalah tulang belakang untuk memenangkan parti, jangan putus semangat.

"Peluang untuk BN menang ada tapi kena pastikan gerak kerja jentera 'smooth' dan naratif atau mesej kepada rakyat sampai," ujarnya yang memulakan jelajah bertemu calon-calon wanita parti itu di seluruh negara.