Tiada rakyat Malaysia terlibat letupan di Istanbul

Laporan SInar Harian pada Ahad.
Laporan SInar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada laporan mengenai rakyat Malaysia menjadi mangsa letupan bom di Istiklal Avenue Istanbul, yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 81 yang lain setakat ini.

Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul Turkiye dalam satu kenyataan memaklumkan, bahawa pihaknya kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu.

"Pada masa kenyataan ini dibuat, belum ada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian itu dan Konsulat Jeneral yakin pihak berkuasa akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Konsulat Jeneral ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya peka dengan keadaan sekeliling dan mengelak daripada berada di tempat sesak di Istanbul buat masa ini,” menurut kenyataan Konsulat yang dikongsi menerusi akaun Twitter (@MWIstanbul).

Orang ramai yang menghadapi sebarang kecemasan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di talian ; +90 2129891001/+90 5362896788/+90 5517112174/+90 55389879767 atau alamat e-mel, mwistanbul@kln.gov.my.

Pihak konsulat juga merakam ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka, dan berharap mereka yang cedera cepat sembuh.

Letupan yang berlaku kira-kira 4.20 petang (1320 GMT) itu mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 81 yang lain, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik naib presiden Turkiye Fuat Oktay sebagai berkata pada Isnin.

Oktay yang melawat lokasi kejadian memberitahu media di Dataran Taksim Istanbul bahawa seorang penyerang wanita bertindak meletupkan bom dan tindakan itu dianggap sebagai perbuatan pengganas.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sejurus sebelum berlepas ke Indonesia bagi menghadiri sidang kemuncak G20 ke-17, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata, serangan bom itu 'berkemungkinan serangan pengganas.'

Beliau berkata, negara tidak akan tunduk kepada keganasan, dan semua pelaku akan dikenal pasti. - Bernama