Kerajaan gagal lucut hak harta RM80 juta milik Najib, Rosmah

Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi mengikuti prosiding sambung bicara berhubung kes 1MDB. -Foto Bernama
Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi mengikuti prosiding sambung bicara berhubung kes 1MDB. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Malaysia gagal untuk melucuthak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences, empat tahun lalu.

Sebahagian barangan tersebut didakwa milik Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pendakwaan melucut hak harta tersebut.

Ketika membaca keputusan penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, gagal membuktikan harta yang disita mempunyai kaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang.

Menurutnya, pegawai penyiasat pengubahan wang haram, Superitenden Foo Wei Min gagal membuktikan bahawa jam tangan yang disita itu hasil daripada kesalahan pecah amanah atau harta curi.

“Jelas bahawa jam tangan itu tidak diperoleh berkaitan dengan perlakuan kesalahan predikat (aktiviti haram) atau menggunakan dana penyelewengan 1MDB,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah AS$247,599,466 telah dibayar oleh Blackstone Asia Real Estate Partners dan beberapa pihak lain kepada 31 syarikat pengeluar dan penjual barangan kemas untuk pembelian barang kemas.

Maka katanya, tidak timbul isu bahawa barang kemas itu diperoleh dengan perlakuan kesalahan predikat.

Sementara bagi 29 beg tangan, hakim ini berkata, harta yang diterima dikatakan sebagai hadiah, namun Wei Min tidak mempunyai keterangan yang kukuh untuk membuktikan perkara tersebut atau sebaliknya.

“Atas imbangan kebarangkalian, pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan bahawa harta yang disita adalah berkait dengan aktiviti haram. “Permohonan untuk melucuthak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 unit jam tangan, ditolak,” katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Harris Ong Mohd Jeffrey Ong. Najib serta Rosmah pula diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti, Azamuddin Abd Aziz dan Iskandar Shah Ibrahim.

Selepas keputusan itu, Faten Hadni memohon untuk menggantungkan pemulangan harta tersebut, sebagai mana peruntukan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

“Kami mohon kepada mahkamah, supaya menangguhkan keputusan ini sehingga rayuan difailkan secara bertulis. “Sekiranya keputusan penggantungan tidak dibenarkan, rayuan pihak pendakwaan akan menjadi sia-sia,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, ia tidak akan menjadi sia-sia kerana pihak pendakwaan masih boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu kelak.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Jamil menolak permohonan pendakwaan untuk menggantung keputusan itu sementara menunggu rayuan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Ini kerana, beliau telah memutuskan bahawa harta yang disita bukan diperoleh daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Ia susulan pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata, 306 beg tangan, serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Najib dan isterinya Rosmah adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas serta jam tangan dalam permohonan pelucuthakan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusof.

Barangan yang disita oleh polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018 telah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu sebanyak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings di Pavilion.