KL City perlu berbelanja besar musim depan

Pemain TFC, Faiz Mohd Nasir (kanan) diasak pemain KL City FC Muhammad Akram Mahinan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Pemain TFC, Faiz Mohd Nasir (kanan) diasak pemain KL City FC Muhammad Akram Mahinan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
A
A
A

NAIB juara Piala Konfederasi Asia (AFC) 2022, Kuala Lumpur City (KL City) FC perlu berbelanja lebih besar sekiranya mahu bersaing merebut gelaran pasukan terbaik di Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengendalinya, Bojan Hodak mendakwa KL City yang berpangkalan di Lembah Klang adalah antara kelab dengan perbelanjaan terkecil sehingga menyukarkan beliau membentuk sebuah pasukan terbaik musim ini.

Kekangan tersebut katanya menyebabkan skuad The City Boys terpaksa turun tanpa kesebelasan terbaik dalam sebahagian besar kempen liga domestik musim ini.

"Bajet kami antara yang paling kecil dalam liga (Liga-M). Kerana itu kami adalah masalah dengan 11...12 pemain dan yang lain, kebanyakannya pemain muda.

"Sesetengah daripada mereka boleh bermain, ada yang tidak boleh bermain dalam liga. Musim ini juga agak panjang terutama Piala AFC dan perjalanan. Rata-rata pemain benar-benar letih pada akhir musim," katanya ketika ditemui selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Perjalanan skuad kendalian jurulatih kelahiran Croatia di cabaran Piala Malaysia itu pada musim ini terhenti apabila tewas dengan agregat 1-4 kepada TFC.

Dalam pada itu Hodak yang pernah membimbing skuad remaja negara berkata beliau berkemungkinan akan kekal bersama KL City pada musim depan.

Sehubungan itu beliau mengharapkan bajet lebih besar untuk menyediakan pasukan yang lebih mantap dan kuat bagi mengharungi cabaran Liga-M tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas kami memenangi Piala Malaysia dan tahun ini kami berjaya ke peringkat akhir AFC. Tetapi jika kami mahu kejayaan lebih besar, kami perlu mempunyai pasukan yang lebih besar dengan lebih banyak peruntukan. Itulah perkara yang akan kami bincangkan untuk musim depan," katanya.