[VIDEO] Mangsa banjir di Meru, Johan Setia Klang mula pulang

PPS SK Johan Setia ditutup bagi menjalani persiapan sebagai pusat mengundi pada 19 November ini.
PPS SK Johan Setia ditutup bagi menjalani persiapan sebagai pusat mengundi pada 19 November ini.
A
A
A

KLANG – “Hanya tinggal dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Meru dan Johan Setia,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Klang, Shahman Jalaludin.

Beliau berkata, sebuah lagi PPS di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Meru telah ditutup pada Ahad.

“Setakat jam 1 petang Ahad, tinggal 225 mangsa terdiri daripada 46 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru manakala 36 mangsa (sembilan keluarga) masih ditempatkan di PPS Masjid Kampung Johan Setia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia yang sebelum ini menempatkan kira-kira 600 orang mangsa sejak Rabu lalu telah berkurangan berikutan sebahagian besar mereka telah pulang ke rumah masing-masing.

“Ada yang ambil keputusan untuk pulang membersihkan rumah yang ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku.

Mangsa banjir di PPS SK Johan Setia dipindahkan ke Masjid Kampung Johan Setia pada Ahad
Mangsa banjir di PPS SK Johan Setia dipindahkan ke Masjid Kampung Johan Setia pada Ahad

“Jadi baki mangsa yang tinggal di PPS SK Johan Setia kita pindahkan ke Masjid Kampung Johan Setia memandangkan sekolah itu turut dijadikan pusat mengundi pada 19 November ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahman berkata, pihak berkuasa termasuk bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) masih bersiap siaga di PPS berkenaan sebagai persediaan jika banjir berulang.

Artikel Berkaitan:

“Kebarangkalian untuk berlaku banjir sekali lagi amat tinggi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, walau bagaimanapun kita bersedia menghadapi segala kemungkinan,” jelasnya

Sementara itu, seorang mangsa, Nurhalimah Abdul Haris, 27, berkata, meskipun air sudah surut dia mengambil keputusan untuk terus tinggal di PPS kerana khuatir banjir akan berulang.

“Banjir kali ini kami sempat selamatkan peralatan rumah berbanding tahun lalu banyak peralatan elektrik rosak kerana air naik secara mendadak.

“Saya bersyukur di atas keprihatinan jawatankuasa kampung dan pihak berkuasa yang pantas bertindak bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Pada Sabtu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi enam negeri melibatkan Johor, Terengganu, Kedah, Sabah, Sarawak dan Selangor.

Di Selangor membabitkan daerah Klang iaitu Bandar Klang, Kapar, Pekan Kapar, Pekan Pandamaran serta kawasan sekitarnya; daerah Kuala Langat meliputi Kelanang, Mukim Bandar, Pekan Chodoi, Pekan Jenjarom, Tanjong Dua Belas, Telok Panglima Garang serta kawasan sekitarnya manakala di daerah Kuala Selangor melibatkan Pasangan, Pekan Bestari Jaya dan kawasan sekitarnya.