KL City tekad cipta kejutan jumpa TFC

KL City berada di prestasi terbaik untuk mencipta kejutan ke atas TFC pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Zainal Abidin. - Foto Kuala Lumpur City
KL City berada di prestasi terbaik untuk mencipta kejutan ke atas TFC pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Zainal Abidin. - Foto Kuala Lumpur City
A
A
A

PENYANDANG juara, Kuala Lumpur (KL) City FC enggan mengangkat 'bendera putih' lebih awal selepas mengalami kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Cheras Ahad lalu.

Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, beliau kini memiliki ramuan terbaik dalam usahanya mencipta kejutan ke atas TFC dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.

“Sudah tentu ketika ini kelebihan lebih berpihak kepada Terengganu berbanding KL City. Ini kerana mereka ada kelebihan jaringan satu gol selain akan beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya harus akui, ia bukan satu tugas mudah untuk menewaskan Terengganu di hadapan penyokong mereka sendiri. Sudah terbukti, Terengganu mempunyai rekod yang cukup baik musim ini.

“Bagaimanapun, dalam bola sepak apa-apa situasi boleh terjadi. Jadi kami akan berjuang habis-habisan dan cuba mencari gol awal untuk menambahkan motivasi setiap pemain,” katanya.

Dalam pada itu, Bojan berkata, beliau mampu menghela nafas lega apabila barisan pemainnya bebas daripada sebarang hukuman penggantungan perlawanan.

“Cumanya ada beberapa perkara yang perlu saya lihat kerana terdapat perkhabaran ada pemain tidak sihat.

"Jadi ada baki satu hari lagi, saya akan lihat perkembangan mereka sama ada cergas atau tidak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: