Habuan menanti Speedy Tigers

Para pemain Speedy Tigers meraikan kejayaan menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada Khamis. -Foto Bernama
Para pemain Speedy Tigers meraikan kejayaan menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada Khamis. -Foto Bernama
A
A
A

THE Speedy Tigers bakal menerima ganjaran susulan kejayaan cemerlang dan bersejarah menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama sekali gus menamatkan penantian 39 tahun bergelar juara, pada Khamis.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal yang berbangga dengan pencapaian skuad kendalian Arul Selvaraj itu berkata, ganjaran akan diberikan, namun perkara itu perlu dibentangkan kepada Lembaga Eksekutif terlebih dahulu.

"Ganjaran itu ada, hanya saya perlu lontarkan idea kepada barisan Lembaga Eksekutif. Saya tidak boleh buat keputusan sendiri.

"Apabila semua jawatankuasa bersetuju, kita akan buat majlis untuk meraikan kemenangan mereka (pasukan hoki negara)," katanya dalam sidang media bersama Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang baharu dipilih Tayyab Ikram pada Jumaat.

Pada aksi final penuh mendebarkan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak itu, Malaysia menewaskan Korea Selatan 3-2 untuk merangkul kejuaraan yang dinanti-nantikan sejak edisi sulung pada 1983.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Kejayaan itu juga membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan yang mengecewakan impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lepas.

Dalam pada itu, Subahan meminta Arul Selvaraj untuk berjumpa dengannya sendiri berhubung laporan yang mengatakan jurulatih itu memerlukan kakitangan tambahan bagi membantunya memajukan lagi skuad kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

"Biar dia tanya saya sendiri (jika dia perlu) setakat ini saya dah bagi dua (kakitangan), seorang dari Afrika Selatan dan seorang lagi dari England...kalau nak lebih boleh tetapi minta dekat saya, jika praktikal saya bagi," katanya.

Sementara itu, Subahan berkata di bawah kepimpinan Tayyab, beliau percaya banyak perubahan boleh dilakukan demi kemajuan sukan hoki bukan sahaja di Asia tetapi secara keseluruhan.

Pada masa sama, Tayyab berkata: "Ketika ini, saya sedang mencari negara di mana kita boleh mengadakan kejohanan berprestij dan Malaysia adalah antara pesaing utama yang boleh kita adakan lebih banyak kejohanan antarabangsa.

Di IPOH, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan The Speedy Tigers akan diberikan insentif yang sepadan dengan kejayaan pasukan tersebut.

"Kalau hendak cakap tentang insentif, tentunya bukan sahaja (Kementerian Belia dan Sukan) dan persatuan hoki, tetapi seluruh rakyat telah mula buka mata kepada kebolehan skuad ini.

“Saya percaya pasukan ini boleh pergi jauh lagi dan saya mengalu-alukan penajaan dari pihak swasta untuk beri perhatian kepada sukan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2022 pada Jumaat.

Ahmad Faizal berkata berdasarkan persembahan dipamerkan Speedy Tigers, momentum tersebut perlu diteruskan untuk kejohanan Piala Dunia pada Januari tahun hadapan di Bhubaneswar dan Rourkela, India.

"Saya lihat ia dibawa daripada momentum Piala Asia kelayakan Piala Dunia. Saya harap di pusingan akhir Piala Dunia nanti kita akan dapat tempat yang terbaik dan kalau kita lihat dari persembahan dan kemahiran yang ditunjukkan semalam, tidak mustahil untuk kita rangkul kejayaan dunia tidak lama lagi," katanya.