Empat teras manifesto KJ buat Sungai Buloh

Khairy Jamaluddin bertemu penduduk di Masjid Kota Damansara hari ini.
Khairy Jamaluddin bertemu penduduk di Masjid Kota Damansara hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini telah mengeluarkan manifesto khas kepada penduduk Parlimen itu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Manifesto yang bertemakan Kita Jaga Sungai Buloh dan Kita Jaya Malaysia telah meletakkan empat teras utama iaitu Sejahtera Sungai Buloh, Digital Sungai Buloh, Sihat Sungai Buloh dan Lestari Sungai Buloh.

“Saya bukanlah saudagar mimpi yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi semua pengisian ini dibentuk bersandarkan kepada pengalaman saya sebagai ahli Parlimen tiga penggal di Rembau serta pernah menerajui tiga kementerian sebelum ini.

“Saya percaya setiap isi manifesto saya ini mampu dilaksanakan dan dicapai. Kata Janji Sungai Buloh ini merupakan tekad dan komitmen saya,” katanya.

Dalam teras pertama iaitu Sejahtera Sungai Buloh, antara janji yang dibuat adalah melaksanakan projek mitigasi banjir menerusi naik taraf sistem saliran dan mendalamkan perparitan.

Selain itu, janji itu juga akan memperluaskan jaringan pengangkutan antara kawasan perumahan dengan stesen-stesen keretapi dalam Sungai Buloh menerusi kerjasama syarikat pengendali perkhidmatan awam.

Dalam teras kedua pula iaitu Digital Sungai Buloh, antara janji yang dibuat adalah perluasan capaian internet 5G di seluruh Parlimen Sungai Buloh dan menjadikan Parlimen ini sebagai hab National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) bagi tujuan pengujian dan pengkomersialan hasil NTIS.

Selain itu dalam teras ketiga iaitu Sihat Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menjanjikan naik taraf infrastruktur dan menambah baik kelengkapan peralatan di fasiliti kesihatan kerajaan serta meluaskan akses saringan kesihatan PeKa B40 menerusi penambahan klinik panel.

Artikel Berkaitan:

Teras keempat dan terakhir pula adalah Lestari Sungai Buloh.

Dalam teras ini, antara janji yang dibuat adalah kemudahan akses terbaik kepada golongan orang kurang upaya (OKU) bagi pengangkutan awam, bangunan dan fasiliti.

Janji itu juga mahu jadikan Sungai Buloh sebagai hab galakan Program Pembangunan Pertanian Bandar seperti aeroponics.

Pada PRU15 ini, Khairy Jamaluddin yang mewakili BN ditentang oleh Datuk R Ramanan dari Pakatan Harapan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Gerakan Tanah Air) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia).

Dua lagi calon Bebas adalah Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634.

Untuk rekod, pada PRU14, daftar pemilih untuk Parlimen ini adalah 90,707 dan jumlah itu bertambah menjadi 158,090 bagi PRU15.

Daripada jumlah berkenaan, 9.25 peratus pemilih adalah golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun.