Lima sahabat dikebumi satu liang lahad

Dari kiri: Mohamad Ekmal, Mohammad Nor Ikram, Ahamd Faizal dan Mohammad Nuraiman.
Dari kiri: Mohamad Ekmal, Mohammad Nor Ikram, Ahamd Faizal dan Mohammad Nuraiman.
A
A
A

IPOH - Jenazah lima sahabat yang terkorban dalam kebakaran rumah kedai di kawasan perindustrian Jelapang Maju, semalam akan dikebumikan dalam satu liang lahad.

Persetujuan itu dicapai ahli keluarga masing-masing memandangkan persahabatan semua mangsa yang terjalin sejak kecil.

Bapa mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata, hubungan mereka juga tidak ubah seperti adik beradik.

"Kemana saja mereka pergi atau ada aktiviti mesti buat sama-sama, jadi semalam kami dah bincang dan ambil keputusan untuk kebumikan bersama dalam satu liang lahad," katanya.

Semua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, hari ini.

Waris dan ahli keluarga semua mangsa dilihat sudah berada di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak jam 7 pagi lagi bagi proses pengecaman.

Seorang lagi bapa mangsa, Mohamad Kamari Talib, 53, berkata, mereka dipanggil untuk menjalani ujian DNA, pagi ini selepas proses pengecaman sukar dilakukan berikutan keadaan mangsa yang rentung.

"Ada mereka minta kami bawa laporan perubatan dan pergigian, tetapi manalah ada, tak pernah buat pun.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri tak dapat nak cam anak saya, jalan paling selamat buat DNA," katanya.

Proses pengecaman dijangka selesai menjelang tengah hari.

Aminuddin Tan, 40, pula mengharapkan proses berkenaan dapat diselesaikan secepat yang mungkin bagi membolehkan urusan pengkebumian dijalankan.

Katanya, persiapan pengkebumian telahpun dimulakan, awal pagi tadi.

"Kami semua cuma harap selesai cepat dan dapat kebumi seboleh-bolehnya tengah hari ini," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 1.50 petang, semalam Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Ahmad Faizal Aminuddin, 16, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, ditemui rentung.

Turut terkorban, P Thiagarajan, 40, yang merupakan pemilik syarikat.