Sub stesen TNB dihempap bongkah batu

Bongkah batu runtuh yang mengakibatkan sub stesen TNB rosak di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Raja Musa Bestari Jaya di sini pada Jumaat.
Bongkah batu runtuh yang mengakibatkan sub stesen TNB rosak di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Raja Musa Bestari Jaya di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Raja Musa Bestari Jaya di sini rosak akibat dihempap bongkah batu yang runtuh pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian jam 11 pagi itu melibatkan 80 peratus kemusnahan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau memberitahu, seramai enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerah ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Pemeriksaan mendapati runtuhan batu bersaiz besar itu terjatuh menghempap sub stesen tersebut," katanya pada satu kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, semasa kejadian tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi itu kecuali enam pekerja di asrama ladang ternakan berdekatan.

Malah, katanya, bomba sudah mengarahkan pemilik ladang supaya memindahkan semua pekerja itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Bomba masih menjalankan pemantauan lanjut bagi menghadapi kemungkinan berlaku runtuhan susulan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:


TNB kesan pergerakan tanah

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya mengesan berlaku pergerakan tanah berikutan kejadian runtuhan bongkah batu menghempap sebuah bangunan pencawang elektrik TNB.

TNB berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor masih melakukan pemantauan berterusan di tapak tersebut.

Sehubungan itu, katanya, bekalan elektrik telah diputuskan demi keselamatan orang awam dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

"Pencawang tersebut juga adalah terpencil dan hanya membekalkan elektrik kepada premis ladang sahaja.

"Kerja-kerja baik pulih aset dan bekalan TNB hanya boleh dilakukan setelah kerja-kerja pembersihan selesai dan disahkan selamat oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.