Pelakon sambilan maut jatuh tingkat 22

Syazlin - Foto Instagram syzlinfans
Syazlin - Foto Instagram syzlinfans
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan kematian seorang pelakon sambilan yang juga selebriti media sosial, Syazlin Zainal, 26, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar di sini pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 12.50 tengah hari berhubung penemuan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri tersebut.

“Hasil siasatan kita dapati wanita berkenaan merupakan sorang warga tempatan berusia 26 tahun, masih bujang dan bekerja sebagai pelakon sambilan.

“Mangsa dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,

"Setakat ini, kita masih menanti keputusan bedah siasat daripada pihak forensik HSA bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Tambah Raub, hasil siasatan awal, polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita pemergian Syazlin yang pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut, nyata mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakan dan peminat.

Anak bongsu daripada lima beradik itu juga merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Syazlin dijangka dikebumikan di Tanah Perkhuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga di sini.