Penuntut universiti parah terjatuh bangunan tingkat 6

Mangsa masih berada dalam keadaan sedar semasa ditemui namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius yang dihadapinya.
Mangsa masih berada dalam keadaan sedar semasa ditemui namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius yang dihadapinya.
A
A
A

PADANG BESAR - Seorang penuntut lelaki sebuah universiti tempatan ditemui parah dan berlumuran darah selepas terjatuh dari bangunan tingkat enam blok kediaman universiti tersebut di Sungai Chuchuh, dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah dipercayai terjatuh selepas tergelincir semasa memanjat masuk ke dalam kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal dalam unit berkenaan.

Menurutnya, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang berhubung kejadian berkenaan.

"Menurut penuntut lain yang menyaksikan kejadian tersebut, mereka telah terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh sebelum melihat mangsa terbaring serta berlumuran darah di lantai aras bawah bangunan.

“Ketika itu, mangsa masih berada dalam keadaan sedar, namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius yang dihadapinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Shokri, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan polis memohon kerjasama saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan," ujar beliau.