Lelaki maut motosikal rempuh belakang treler

Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM6.6 Lebuhraya Elite pada pagi Jumaat.
Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM6.6 Lebuhraya Elite pada pagi Jumaat.
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 6.6, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah, di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Trafik (BSPT) menerima laporan berkenaan kemalangan itu pada jam 6.10 pagi.

"Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan sebuah treler jenis Scania. Lokasi kemalangan adalah lebuh raya tiga lorong dan satu lorong kecemasan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila treler dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun dari arah Shah Alam menuju ke KLIA sedang bergerak di lorong pertama (perlahan) tiba-tiba terdengar bunyi perlanggaran yang kuat di bahagian belakang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Azlan berkata, pemandu treler berkenaan telah berhenti dan mendapati mangsa telah terjatuh di lorong pertama laluan terbabit.

"Penunggang motosikal berusia 55 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian. Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk manakala bahagian besi belakang treler turut rosak," jelasnya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Saksi kemalangan diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: