PRU15: Nazirul sambung belajar, bawa agenda 9M

Nazirul (kanan) menyantuni pengundi DUN Gunung Semanggol sempena kempen PRU15 ini.
Nazirul (kanan) menyantuni pengundi DUN Gunung Semanggol sempena kempen PRU15 ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - "Dulu ya hanya SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tetapi saya dah sambung belajar ke peringkat diploma dan akan tamat pengajian tidak lama lagi."

Demikian perkongsian Calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol, Nazirul Jamaluddin.

Nazirul, 39, tidak berkecil hati dengan usikan nakal parti lawan yang menganggapnya tidak mempunyai ketokohan sebagai pemimpin kerana tidak belajar tinggi.

Menurutnya, kenyataan dirinya sedang berusaha memajukan diri dengan menyambung pengajian dalam Diploma Profesional Pengurusan Perladangan dan Teknologi di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Saya harap dapat jadi teladan kepada yang lain terutama anak-anak muda untuk meningkatkan diri dalam pendidikan.

"Biarlah pihak sebelah mahu kata apa, saya hanya mahu fokus berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Kerian itu berkata, pembangunan pertanian menjadi fokus untuk dibawa ke kawasan itu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, daripada maklum balas komuniti petani dan penternak di kawasan itu, mereka mahu kerajaan mudahkan dan segerakan sebarang agihan subsidi dan bantuan.

"Saya menyediakan tawaran 9M kepada penduduk di DUN ini. Selain memudahkan bantuan, fokus juga diberikan untuk meningkatkan hasil dan mutu pertanian, membangunkan aktiviti pelancongan, memperkasa pendidikan dan mempelbagaikan kurus kemahiran.

"Turut diberikan tumpuan, memperluaskan fasiliti internet, membawa aktiviti sukan termasuk e-sport, membangunkan fasiliti awam dan mempromosikan produk desa," katanya.

Pada PRU15 ini, Nazirul berdepan saingan tiga penjuru termasuk penyandang, Razman Zakaria yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar (Pakatan Harapan).