PRU15: Berkempen ketika musim banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEADAAN cuaca hujan lebat sehingga membawa kepada insiden banjir kilat dilaporkan berlaku di beberapa tempat ketika negara menghampiri genap minggu pertama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sejak Isnin lalu, kejadian banjir kilat dilaporkan hampir berlaku setiap hari di beberapa tempat antaranya di Johor, Pahang, Kelantan dan termasuk Selangor serta Kuala Lumpur.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan, mangsa banjir di seluruh negara meningkat kepada 276 dan terdiri daripada 67 keluarga di Johor, Kelantan serta Selangor setakat jam 8 pagi Khamis.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memaklumkan, sebanyak 6,010 PPS telah dikenal pasti dikenal pasti di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Bagaimanapun, Rina pada Khamis turut menimbulkan sedikit kegusaran apabila 35 peratus pusat pemindahan sementara (PPS) yang dikenal pasti itu merupakan pusat pengundian PRU15 pada 19 November ini.

Sementara itu, Sinar Harian pada Khamis melaporkan sebanyak lapan kawasan di sekitar Meru, Selangor dilanda banjir kilat berikutan hujan tanpa henti sejak jam 3 petang.

Insiden itu membabitkan antaranya kawasan di Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan dan Taman Daya.

Ekoran perkembangan tersebut, calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terpaksa membatalkan pertemuannya dengan pengundi di Pasar Malam Matang Pagar pada petang Khamis, bagi bertemu penduduk yang terkesan dengan banjir di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Turut dilaporkan melakukan tinjauan di kawasan berkenaan pada Khamis ialah calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk R Ramanan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua jentera dan agensi terlibat telah bersiap sedia dan digerakkan ke kawasan banjir kilat di negeri itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan kesiapsagaan terhadap kemungkinan berlakunya banjir kilat melibatkan 11 daerah di enam negeri di dalam negara.

Ia membabitkan Pahang, Johor, Sarawak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kenyataan itu meramalkan kawasan terlibat berisiko dilanda banjir kilat jika hujan lebat dan ribut petir yang signifikan dalam tempoh 12 jam dari notis dikeluarkan pada jam 5.30 petang Khamis.

Di Pahang, daerah terlibat ialah Rompin, Temerloh dan Kuantan manakala, di Johor pula ialah di Mersing, Muar, Segamat dan Tangkak.

Beberapa negeri lain yang turut berisiko dilanda banjir kilat ialah di Sarawak melibatkan daerah Kuching; di Selangor pula di daerah Klang; Melaka di Alor Gajah, dan Negeri Sembilan di Port Dickson.

Dengan perkembangan tersebut, orang ramai diminta agar sentiasa mengambil maklum berkenaan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan monsun timur laut (MTL) bakal berlaku lebih awal dari jangkaan iaitu pada 7 November lalu dan akan berterusan sehingga Mac 2023.

Sementara itu, tempoh berkempen yang bermula pada Jumaat lalu akan berlangsung sehingga Jumaat depan sebelum hari pengundian yang ditetapkan pada keesokan harinya iaitu 19 November 2022