Jerman tagih aura Goetze di Qatar 2022

IMBAS KEMBALI...Goetze meraikan jaringannya ketika Jerman menewaskan Argentina, 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia Brazil 2014 di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AFP
IMBAS KEMBALI...Goetze meraikan jaringannya ketika Jerman menewaskan Argentina, 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia Brazil 2014 di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN remaja Borussia Dortmund, Youssoufa Moukoko antara muka baharu yang direkrut bagi menggalas cabaran Jerman dalam Piala Dunia 2022 di Qatar kali ini.

Selain itu, kudrat pemenang Piala Dunia Brazil 2014, Mario Goetze turut menjadi sandaran Jerman selepas lima tahun meninggalkan pasukan kebangsaan.

Pengendali Jerman, Hansi Flick semasa mengumumkan senarai 26 pemainnya, menyifatkan kelincahan Youssoufa faktor utama pemain berusia 17 tahun yang telah menjaringkan enam gol dalam Bundesliga menjadi pilihan pasukan tersebut.

“Youssoufa seorang pemain yang lincah dan pantas. Kami sangat gembira apabila dapat menggunakan khidmatnya di Qatar 2022,” kata Flick.

Turut mendapat tempat adalah penyerang Werder Bremen, Niclas Fuellkrug yang bermula cemerlang musim ini bagi mengisi slot Timo Werner dan Lukas Nmecha.

Namun kehadiran semula Goetze yang muncul wira Jerman menjaringkan gol kemenangan semasa menewaskan Argentina 1-0 di Brazil 2014, menjadi harapan Flick selepas pemain itu cemerlang bersama Eintracht Frankfurt musim ini.

“Mario Goetze pernah berada pentas Piala Dunia, 2017 adalah kali terakhir bersama pasukan. Mario gembira apabila dapat sekali lagi berada di sini begitu juga dengan pasukan ini.

“Kita semua tahu dia pemain luar biasa, malah telah beraksi pada tahap sangat tinggi dalam pusingan akhir,” kata Flick.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rangkaian pemain Bayern Munich menjadi teras kekuatan bahagian tengah Jerman - Thomas Mueller, Jamal Musiala, Leroy Sane, Serge Gnabry, Leon Goretzka dan Joshua Kimmich.

Selain itu, penjaga gol Manuel Neuer akan mengetuai pasukan kekal sebagai pilihan utama untuk Piala Dunia keempat berturut-turut.

Jerman yang juga pemenang empat kali akan menyingkap kempen Kumpulan E dengan berdepan Jepun pada 23 November.

Kemudian Jerman akan menentang Sepanyol empat hari selepas itu diikuti Costa Rica pada 1 Disember.

Jerman akan berlepas ke Oman pada Isnin bagi perlawanan pemanasan terakhir pada 16 November sebelum ke Doha, Qatar.

Sementara itu, Kapten Dortmund, Marco Reus dan pemain pertahanan Mats Hummels, terlepas peluang beraksi di Qatar selepas gagal pulih kecederaan.

Reus sebelum ini juga terlepas Piala Dunia 2014 selepas mengalami kecederaan pada malam sebelum berlepas ke Brazil.

“Dia telah mencuba segala-galanya untuk kembali pulih. Ya, sememangnya amat mengecewakan apabila pasukan terpaksa melepaskan pemain berkualiti sepertinya," kata Flick.


SKUAD PIALA DUNIA 2022 JERMAN
Penjaga gol: Manuel Neuer (Bayern Munich), Marc-Andre ter Stegen (Barcelona), Kevin Trapp (Eintracht Frankfurt)

Pertahanan: Matthias Ginter (Freiburg), Antonio Ruediger (Real Madrid), Niklas Suele (Borussia Dortmund), Nico Schlotterbeck (Borussia Dortmund), Thilo Kehrer (West Ham United), David Raum (RB Leipzig), Lukas Klostermann, Armel Bella Kotchap (Southampton), Christian Guenter (Freiburg)

Pemain tengah: Ilkay Gundogan (Manchester City), Jonas Hofmann (Borussia Moenchengladbach), Leon Goretzka, Serge Gnabry, Leroy Sane, Jamal Musiala, Joshua Kimmich, Thomas Mueller (all Bayern Munich), Julian Brandt (Borussia Dortmund), Mario Goetze (Eintracht Frankfurt)

Penyerang: Kai Havertz (Chelsea), Youssoufa Moukoko (Borussia Dortmund), Niklas Fuellkrug (Werder Bremen), Karim Adeyemi Borussia Dortmund)