PRU15: Rafique janji tidak ambil tiga bulan gaji pertama

Muhammad Rafique ketika Program Sinar Live bertajuk 'Survival Calon Hot Seat' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Muhammad Rafique ketika Program Sinar Live bertajuk 'Survival Calon Hot Seat' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi Parlimen Shah Alam, Muhammad Rafique Rashid Ali berjanji tidak akan mengambil tiga bulan gaji pertamanya sebagai wakil rakyat sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, wang daripada gaji tersebut akan digunakan khusus untuk memulakan sebuah tabung bagi membantu anak muda di bawah Parlimen itu yang ingin memulakan perniagaan secara dalam talian.

“Anak muda kita kena diberi peluang. Sekarang ini begitu susah nak cari pekerjaan. Jadi kita kena bantu mereka dari pelbagai sudut dan ini mungkin sedikit sumbangan daripada saya. Itu antara manifesto peribadi saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi Program Sinar Live bertajuk 'Survival Calon Hot Seat' yang diacarakan Hazwan Mokhtar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, pada Khamis.

Pada PRU15 kali ini, Muhamad Rafique akan bersaing dalam pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi Shah Alam yang turut membabitkan Isham Jalil yang mewakili BN, Azli Yusof (PH) dan Dr Afif Bahardin (PN).

Muhammad Rafique berkata, perkara paling penting dalam inisiatif mewujudkan tabung itu adalah memastikan pelaksanaan dan sistem permohonan yang teratur bagi membolehkan ia memberi manfaat golongan sasar.

Dalam pada itu, meskipun mengakui calon lain dilihat lebih berpengalaman dalam politik, beliau tetap yakin dengan mesej dan tawaran yang dikemukakannya kepada pengundi di kawasan tersebut.

“Kita ingin membawa pembaharuan dari segi politik supaya ia mesti menjadi punca kuasa bagi membuat khidmat kebaikan kepada rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai visi yang ingin dibawa kepada Parlimen Shah Alam, Muhammad Farique berkata, beliau menjadikan kawasan yang merupakan ibu negeri Selangor itu sebagai bandar raya yang berdaya huni.

Katanya, langkah itu boleh dilaksanakan melalui penambahbaikan terhadap infrastruktur sedia ada yang digunakan bukan sahaja oleh orang awam tetapi juga peniaga.

“Kita juga ingin merapatkan jurang ekonomi antara penduduk di Shah Alam. Isu miskin bandar adalah sesuatu yang benar-benar berlaku dan perlu ditangani,” jelasnya.