11 daerah di enam negeri berisiko banjir kilat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan berlakunya banjir kilat melibatkan 11 daerah di enam negeri.

Menurut notis itu, berdasarkan ramalan Southeastern AsiaOceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, negeri berkenaan ialah Pahang, Johor, Sarawak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ia meramalkan kawasan terlibat berisiko dilanda banjir kilat jika hujan lebat dan ribut petir yang signifikan dalam tempoh 12 jam dari notis dikeluarkan pada jam 5.30 petang pada Khamis.

"Di Pahang, daerah yang terlibat ialah Rompin, Temerloh dan Kuantan manakala, di Johor, Mersing, Muar, Segamat dan Tangkak.

"Sementara itu, beberapa negeri lain adalah Sarawak melibatkan daerah Kuching ; di Selangor pula di daerah Klang ; bagi Melaka di Alor Gajah; dan Negeri Sembilan di Port Dickson," ujar kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, notis kesiapsiaga akan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

"Orang ramai dikehendaki mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,' katanya.

Orang ramai juga boleh melayari https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan: