PRU15: Nawi teruskan legasi Besut daerah pendidikan, pelancongan

Nawi (tiga, kanan) bertanya khabar peniaga ketika turun berkempen di pasar pagi Kampung Alor Lintah, di sini.
Nawi (tiga, kanan) bertanya khabar peniaga ketika turun berkempen di pasar pagi Kampung Alor Lintah, di sini.
A
A
A

BESUT - Besut akan dibangunkan sebagai sebuah daerah pendidikan dan pelancongan yang mampu memberi pelbagai limpahan impak positif kepada masyarakat di sini terutama dari segi perkembangan ekonomi.

Calon BN Parlimen Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, beliau akan meneruskan legasi dan impian bekas ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai daerah pendidikan dan pelancongan.

“Saya akan teruskan perkara baik untuk kepentingan Besut, kita akan gunakan kelebihan yang ada di daerah kita bagi merancakkan industri pelancongan terutama di kawasan tumpuan ramai.

“Antara perancangan itu adalah membina jalan atau laluan riadah khas untuk pelancong di sepanjang jajaran pantai dari Beting Lintang ke Air Tawar yang boleh digunakan untuk jalan kaki, berbasikal dan aktiviti lain,” katanya di sini pada Khamis.

Bagaimanapun menurutnya, perubahan tersebut hanya boleh dinikmati sekiranya pengundi Parlimen Besut terus memilih BN sebagai pemimpin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.

Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut berkata, pengundi perlu memilih BN sebagai kerajaan kerana hanya parti itu mampu membangunkan negeri dan negara ke arah landasan betul.

Jelas beliau, tiada sebab rakyat harus menolak BN kerana kemampuannya sudah pun terbukti selepas memerintah negara lebih 60 tahun.

“Manifesto yang dibentangkan BN juga baik untuk pengundi terutama orang-orang muda, semuanya sudah ditawarkan dengan jelas demi masa depan negara lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Parlimen Besut yang mempunyai 111,650 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan BN, Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Pakatan Harapan (PH).

Nawi akan menentang calon PN, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, calon Pejuang, Datuk Wan Nazari Wan Jusoh dan calon PH, Abd Rahman @ Abd Aziz Abas bagi mempertahankan kerusi Parlimen Besut agar kekal milik BN.

Pada PRU14, Parlimen Besut dimenangi Datuk Seri Idris Jusoh yang bertanding atas tiket BN dengan undi sebanyak 34,335 menewaskan calon Pas, Riduan Mohamad Nor dan juga Wan Nazari.