NGO gesa siasat peningkatan jumlah pengundi di Sabah

Zulkarnain Mahdar (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Sri Petaling di sini pada Khamis.
Zulkarnain Mahdar (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Sri Petaling di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membuat laporan polis berhubung dakwaan peningkatan mendadak pengundi di Sabah.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, beberapa pemimpin politik di Sabah turut menyuarakan kebimbangan mereka tentang peningkatan mendadak pengundi di negeri tersebut.

"Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyuarakan padangan serta meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Rakyat di negeri itu susah hati kerana ada dakwaan warga asing diberikan kad pengenalan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling di sini pada Khamis.

Zulkarnain berkata, beliau meminta pihak polis untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Mustahil pengundi berusia 18 tahun yang pertyama kali akan mengundi pada PRU15 meningkat mendadak di Sabah," katanya.

Zulkarnain berkata, pihaknya turut mendakwa ada parti politik di Sabah akan membuat sekatan di pusat daerah mengundi di negeri itu pada 19 November ini.

"Jika perkara ini berlaku, proses mengundi mungkin akan terganggu, malah pengundi yang layak akan berasa takut untuk keluar mengundi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Oktober lalu, media melaporkan kerajaan Sabah masih meneliti isu berhubung jumlah pengundi berdaftar yang didakwa mengalami peningkatan secara mendadak di negeri tersebut.

Hajiji berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan petugas khas di setiap daerah, khusus bagi untuk meneliti perkara terbabit di samping turut mengarahkan jentera parti bagi tujuan sama.

Media sebelum ini turut melaporkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee menyifatkan peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah yang akan mengundi pada PRU15 amat mengejutkan.

Teck Lee dipetik berkata, daftar pemilih yang dikeluarkan SPR Sabah menunjukkan peningkatan pengundi baharu di Sabah sebanyak 53.9 peratus, iaitu daripada 1.1 juta orang pada 2018 kepada kira-kira 1.7 juta orang pada tahun ini.