PRU15: Iman sertai GTA kerana tidak boleh bergerak solo

Parti Perikatan India Muslim Nasional
Parti Perikatan India Muslim Nasional
A
A
A

SUNGAI PETANI - Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) kerana sedar bahawa undi orang Melayu kini sudah berpecah dan parti itu tidak lagi boleh bergerak sendiri, kata Presidennya, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Beliau berkata, ia susulan dinamik politik negara yang telah menyebabkan hanya tiga gabungan politik iaitu Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan GTA sahaja yang boleh bersaing untuk memenangi undi orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kami sedar kami tidak boleh bergerak secara solo. Itu memang hakikat yang kami kena terima. Kalau kami berdegil, kami tidak akan mencapai matlamat kami.

"Jadi kami telah mengadakan perbincangan dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menubuhkan GTA,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Menurut Mohammed Mosin, GTA juga ditubuhkan memandangkan kesemua parti komponennya iaitu Pejuang, Iman, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Gagasan Bangsa mempunyai keserasian serta matlamat yang sama.

"Setelah berbincang, kami bersetuju bahawa apa yang kami mahukan adalah untuk bersama-sama menegakkan agama, bangsa dan negara kita. Kami juga berjanji akan menjauhi rasuah,” katanya.

Selain Mohammed Mosin, Iman meletakkan empat lagi calon pada PRU15 ini yang akan bertanding di bawah logo Pejuang iaitu di Parlimen Tanjong Malim dan Teluk Intan di Perak, Putatan (Sabah), Pasir Gudang (Johor) dan Bagan (Pulau Pinang). - Bernama

Artikel Berkaitan: