PRU15: Calon veteran tenang raih undi

Chee Leong (kanan) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) bertemu penduduk setempat ketika berkempen berhampiran Pasar Awam Jeram, di sini pada Rabu.
Chee Leong (kanan) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) bertemu penduduk setempat ketika berkempen berhampiran Pasar Awam Jeram, di sini pada Rabu.
A
A
A

KAMPAR - Masuk hari keenam kempen, calon-calon veteran yang masuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dilihat tenang mendekati pengundi.

Antaranya calon BN bagi kerusi Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong yang kekal dicalonkan bagi merampas kembali kerusi yang pernah dimenangi pada PRU12.

Bertanding untuk kali keempat bagi kerusi yang sama, gerak kerja calon berusia 65 tahun itu kelihatan agak mudah kerana kebanyakan penduduk mengenalinya apabila disapa orang ramai di Pasar Awam Jeram, di sini.

Chee Leong berkata, biarpun kalah dua penggal berturut-turut pada PRU12 dan PRU14, hubungannya dengan masyarakat tempat kekal baik.

"Ketika menang pada PRU12 yang lalu, saya buka kaunter perkhidmatan di kaki-kaki lima untuk memudahkan orang ramai membuat aduan.

"Jadi, perkara sama akan saya teruskan jika kembali dipilih pada PRU kali ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Awam Jeram, di sini pada Rabu.

Jelasnya, banyak perancangan yang tertangguh untuk kawasan Parlimen Kampar terutama merealisasikan pembinaan Hospital Kampar yang baharu.

Artikel Berkaitan:

Chee Leong (berdiri, tiga dari kanan) melayani permintaan bergambar oleh penduduk setempat.
Chee Leong (berdiri, tiga dari kanan) melayani permintaan bergambar oleh penduduk setempat.

Selain itu katanya, potensi kawasan ekopelancongan di sekitar Parlimen Kampar akan diberikan perhatian untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk.

Sementara itu, seorang lagi calon veteran, Datuk Abdul Rahman Md Som berkata, biarpun baharu dicalonkan oleh BN untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah pada PRU kali ini, kawasan itu bukanlah sesuatu yang asing baginya.

Calon berusia 70 tahun itu tetap bersemangat bertemu pengundi dan penduduk setempat untuk memperkenalkan diri.

"BN mempunyai rekod yang cemerlang di DUN Tualang Sekah. Kita tidak pernah kalah di kerusi DUN ini walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan ini melompat parti pada PRU yang lalu.

"Saya sendiri biasa membantu calon-calon sebelum ini bertanding di sini, jadi secara tidak langsung mengenali penduduk di sini dan mereka juga kenal saya," katanya.

Untuk rekod, pada PRU14, kerusi Parlimen Kampar dimenangi Pakatan Harapan (PH) menerusi calonnya, Thomas Su Keong Siong manakala kerusi DUN Tualang Sekah dimenangi Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi sebelum keluar UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).