Piala Liga: Liverpool terselamat, City lepasi ujian Chelsea

Kelleher wira Liverpool. - Foto Agensi
Kelleher wira Liverpool. - Foto Agensi
A
A
A

PENYANDANG juara, Liverpool terselamat hasil penentuan sepakan penalti apabila menewaskan Divisyen Tiga, Derby County untuk mengesahkan mara ke pusingan keempat Piala Liga di Stadium Anfield.

Liverpool pimpinan Jurgen Klopp, yang memenangi pertandingan musim lalu dengan menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti, terikat tanpa jaringan berdepan The Rams dan sekali lagi penjaga gol Ireland, Caoimhin Kelleher muncul wira The Reds, menyelamatkan tiga sepakan penalti ketika pasukannya mara 3-2 dalam penentuan sepakan itu.

Sementara itu, Manchester City memenangi perlawanan kelas heavyweight apabila menewaskan Chelsea 2-0 di Stadium Etihad.

Gol separuh masa kedua Riyad Mahrez (53') dan Julian Alvarez (58') memastikan kemenangan buat City selepas Pep Guardiola melakukan tujuh pertukaran pada barisan yang menang 2-1 ke atas Fulham dalam Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Jack Grealish, pemain termahal Liga Perdana Inggeris, mencipta beberapa peluang, namun Mahrez yang memecah kebuntuan hasil daripada sepakan percuma.

Alvarez menggandakan pendahuluan City lima minit kemudian, selepas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy menepis rembatan rendah Mahrez.

Nottingham Forest pula mencipta kejutan apabila menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di City Ground ketika pemain pertahanan Brazil, Renan Lodi dan bekas pemain tengah England Jesse Lingard masing-masing menjaringkan gol pertama untuk kelab itu sejak tiba pada musim panas.

Kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers juga mencipta kejutan apabila menumpaskan West Ham United dari Liga Perdana Inggeris dengan memenangi penentuan penalti 10-9 selepas penyerang Chile, Ben Brereton menyambar jaringan 2-2 dengan jaringan penyamaan pada minit ke-88 di Stadium London.

Artikel Berkaitan:

Newcastle United juga tidak terkecuali menang menerusi penentuan sepakan penalti, memenangi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas seri 0-0 di St James' Park menentang Crystal Palace.

Southampton pula menang 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 di St Mary's menentang kelab Liga Kejuaraan, Sheffield Wednesday.

Sementara itu, Wolverhampton Wanderers menewaskan Leeds United 1-0 hasil jaringan pada minit ke-85 daripada Boubacar Traore.