PRU15: Dakwa tiada isu, PRM yakin boleh menang

Andy
Andy
A
A
A

KOTA BHARU - Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Kota Bharu, Andy Tan percaya kemenangan hampir 70 peratus berpihak kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Andy mendakwa, keyakinan itu berdasarkan beliau tiada sebarang isu negatif berbanding pemimpin parti lain.

Tambah Andy, cara berkempennya tidak jauh berbeza dengan calon lain iaitu melalui kaedah tradisi seperti lawatan dari rumah ke rumah, pasar dan tempat awam.

"Kami turut memanfaatkan media sosial sepenuhnya sesuai dengan masyarakat hari ini," katanya pada Khamis.

Menurut Andy atau lebih dikenali sebagai Awang, sebanyak 20 peratus kawasan sudah dilawati selama empat hari berkempen.

"Saya membawa misi dari rakyat kepada rakyat yang berusaha membawa perubahan dalam ekonomi," katanya.

Andy berdepan lima lagi calon lain pada PRU15 iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail; Profesor Datuk Dr Che Musa Che Omar (GTA-Putra), Dr Hafidzah Mustakim (PH) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Bagaimanapun kata Andy, ramai yang keliru mengenai lambang yang digunakan untuk bertanding PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Itu sebenarnya kepala seladang, bukan lembu," katanya.

Tambah Andy, kepala seladang pernah digunakan oleh seorang ahli politik iaitu Ahmad Boestamam pada tahun 1955 mewakili rakyat marhaen untuk membantu golongan petani.

Andy yang dibesarkan di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu memberitahu, kepala seladang itu juga relevan kerana rakyat Malaysia sudah biasa dengan lambang binatang termasuk harimau, kijang dan gajah.