Kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Sebuah kapal kargo ditahan Maritim Malaysia Perak selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pangkor. - Foto ihsan Maritim Malaysia.
Sebuah kapal kargo ditahan Maritim Malaysia Perak selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pangkor. - Foto ihsan Maritim Malaysia.
A
A
A

LUMUT - Sebuah kapal kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak selepas berlabuh tanpa kebenaran pada kedudukan 29.7 batu nautika barat laut Pulau Pangkor di sini, pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, kapal yang membawa 20 kru itu ditahan oleh peronda Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kepulauan Sembilan sekitar jam 1 petang.

Kapal kargo terbabit dikesan berlabuh dalam keadaan mencurigakan, sebelum anggota peronda merapat dan menggeledah kapal kargo berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 20 kru warga Myanmar dalam lingkungan usia 20 hingga 55 tahun berada di atas kapal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kapal berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1) (L) Akta Ordinan Perkapalan (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Dalam kejadian berasingan, Mohd Hambali berkata, pasukannya turut menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti perikanan pada kedudukan 2.7 batu nautika tenggara Pulau Pasir Agas di sini.

"Ketika ditahan mereka sedang menarik pukat di kawasan yang tidak dibenarkan dan melanggar syarat lesen.

"Terdapat tiga kru termasuk tekong warga tempatan berusia 19 hingga 44 tahun disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) di bawah Akta Perikanan 1985.

Artikel Berkaitan:

"Bot serta kru bersama anggaran 30 kilogram hasil tangkapan diiring ke jeti Perikanan Kampung Acheh Sitiawan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.