Kekeliruan memilih bawa kehancuran

Fazril ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'PRU15: Peringatan Kepada Pengundi' yang dihoskan oleh Asmaliza.
Fazril ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'PRU15: Peringatan Kepada Pengundi' yang dihoskan oleh Asmaliza.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak dinafikan dunia politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini sememangnya mengelirukan apabila pelbagai perkara yang dilihat mustahil dan tidak pernah terfikir sebelum ini berlaku kini menjadi kenyataan.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh berkata, masih ramai dalam kalangan masyarakat umum yang berhadapan dengan kekeliruan politik ekoran senario politik yang tidak pernah surut dengan pelbagai kehangatan dan kejutan.

Menurutnya, kekeliruan adalah satu perkara yang biasa berlaku dalam memilih dua perkara atau memilih beberapa pilihan, maka perkara sama juga berlaku dalam dunia politik tanah air.

Katanya, kekeliruan memilih berlaku disebabkan banyak faktor dan satunya adalah pergolakan politik dalam negara yang tidak menentu atau disebut juga sebagai dinamik politik iaitu membawa kekeliruan kepada orang ramai.

"Dinamikal politik atau dinamik politik adalah satu perkara yang tidak menentu dan mengelirukan dalam kalangan orang ramai untuk membuat penentuan apabila mempunyai beberapa pilihan.

"Konteks keliru yang kedua di dalam dunia politik adalah kita mahu meletakkan yang mana satu pilihan terbaik apabila ia melibatkan parti dominan atau faktor calon itu sendiri. Maka di sini juga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pemilih.

"Ini kerana ada sebahagian parti mempunyai calon yang bagus tetapi ada juga di dalamnya kalangan pimpinan parti terpalit isu-isu tertentu. Sama juga dengan isu parti yang bagus tetapi barangkali pula calon mereka pula tidak bagus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'PRU15: Peringatan Kepada Pengundi' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu dan dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Artikel Berkaitan:

Fazril berkata, kekeliruan juga berlaku dalam kalangan pengundi baharu yang pertama kali mengundi iaitu Undi18 apabila golongan ini dilihat masih mentah tentang selok belok dan seni politik negara.

Menurutnya, golongan muda Undi18 berhadapan kekeliruan di atas faktor ilmu dan masih belum lagi didedahkan sepenuhnya dengan senario sebenar dunia politik tanah air.

Katanya, kumpulan pengundi tersebut masih tercari-cari siapakah yang mahu diikuti ekoran tidak pernah berkecimpung dengan dunia politik sebelum ini, malah proses pendaftaran mereka sebagai pemilih juga dibuat secara automatik.

Jelasnya, pendaftaran secara automatik menyebabkan si pemilih itu sendiri pun tidak sedar yang dia sebenarnya telah disenarai sebagai pemilih atau pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kalau kita dahulu siap pergi Pejabat Pos untuk hantar borang sebagai pengundi, maka kita sedar apa yang dilakukan dan kita juga mahu melakukannya. Tetapi sekarang ini sudah dilakukan secara automatik dan dia tidak tahu apakah dia sudah layak atau sudah didaftarkan.

"Tahu-tahu sahaja orang sudah suruh semak daftar pemilih. Selepas tahu sudah layak sebagai pemilih, dia masih tidak tahu apa yang mahu dilakukan selepas itu. Aku nak kena buat apa? Hendak pilih siapa? Maka di sini pun berlaku kekeliruan," katanya.

Tambahnya, kadangkala masih berlaku dalam diri pengundi itu dengan perasaan tidak begitu berkeyakinan terhadap calon yang mahu dipilih.

Jelasnya, situasi itu berlaku kerana kekeliruan yang wujud akibat terlalu banyak menerima maklumat daripada pelbagai pihak, selain tidak mengetahui yang mana betul dan yang mana salah.

Namun apa yang pasti tegasnya, sekiranya pengundi tersilap membuat pilihan dan tersalah memilih pemimpin, maka negara akan musnah akibat dipimpin oleh mereka yang korup.

"Sekiranya salah pilih pemimpin, negara akan binasa. Malah sekiranya tidak memilih pemimpin pun (tidak keluar mengundi), anda pun akan membawa negara ke arah kehancuran kerana menghantar kepimpinan korup ke Parlimen.

"Oleh sebab itu, kita sebagai rakyat harus keluar mengundi dan membuat pilihan calon yang tepat. Apa sahaja yang berlaku, pilihlah pemimpin yang bijak namun jangan sesekali tersalah pilih pemimpin.

"Apa yang pasti bagi saya, aspek calon itu sendiri yang perlu diutamakan. Jangan pilih calon yang korup, mengamalkan rasuah serta akhlak yang tidak baik, sebaliknya pilih mereka yang boleh memberi khidmat baik kepada rakyat," katanya.