Sentuhan Soleen mampu cetus aura bola sepak wanita

Sentuhan Soleen diharap mampu beri nafas baharu buat skuad bola sepak wanita negara. - Foto FB FAM
Sentuhan Soleen diharap mampu beri nafas baharu buat skuad bola sepak wanita negara. - Foto FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berharap kehadiran Soleen Al-Zou'bi dari Jordan sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu melonjakkan bola sepak wanita di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, sentuhan Soleen juga diharap dapat memastikan skuad bola sepak wanita kebangsaan memberikan saingan terbaik di pentas antarabangsa.

"Ia juga diharap dapat merancakkan lagi minat remaja perempuan dan wanita kepada sukan bola sepak sekali gus memperbesarkan lagi kumpulan bakat berpotensi.

"Diharapkan kehadiran Soleen akan dapat memberikan aura serta nafas baharu buat bola sepak wanita Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook FAM pada Rabu.

Pelantikan Soleen telah diumumkan pada sidang akhbar selepas mesyuarat keenam Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021-2025 pada Isnin.

Soleen ketika ini merupakan Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA).

Menurut Suraya, Soleen bukan saja bertindak sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, malah beliau juga akan menggalas tugas selaku Ketua Unit Wanita FAM bagi merancang program-program berkaitan bola sepak wanita di negara ini.

Suraya sendiri secara peribadi sudah mengenali jurulatih itu kerana beliau dan Soleen merupakan Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak dari tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu ini merupakan satu langkah besar buat bola sepak wanita negara kerana kita telah mengambil jurulatih dari luar yang mempunyai latar belakang agak baik sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan selepas hanya menggunakan jurulatih tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Bagi tahun 2023, pasukan wanita kebangsaan akan menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja, Kelayakan Olimpik 2024 dan Kejuaraan Wanita AFF 2023.

Mereka juga akan menyertai Kelayakan Piala Asia Wanita bawah 20 tahun (B-20) 2024, Kejuaraan Wanita (B-19) AFF 2023, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 serta Kejuaraan Wanita B-16 AFF 2023.

Di peringkat domestik pula, FAM akan menjalankan Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi musim 2023, selain bengkel-bengkel berkaitan bola sepak wanita.

FAM juga akan melancarkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita.

"Justeru kerjasama dan sokongan daripada semua pihak sangat dialu-alukan dalam kita memperkasakan bola sepak wanita di negara ini," ujarnya.