'Saya telah isytihar harta'- Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah pun mengisytiharkan asetnya selaras dengan pendekatan pakatan tersebut.

Katanya, pengisytiharan hartanya sedikit lewat kerana beliau perlu menandatangani surat sumpah di hadapan peguam atau Pesuruhjaya Sumpah.

"Saya berada di Johor, saya baru sampai pagi ini untuk tandatangani. Pengisytiharan harta saya sudah pun siap," katanya kepada media selepas program 'Ada Apa Dengan Korupsi' di sini pada Rabu.

Katanya lagi, semua pemimpin yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu membuat pengisytiharan harta seperti yang dilakukan PH.

"Mereka perlu digalakkan untuk isytihar harta, tidak cukup hanya hantar kepada Perdana Menteri. Mereka perlu umumkan kepada orang awam.

"Kamu perlu minta pengisytiharan harta oleh pemimpin Pas, Bersatu (Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang kaya. Mereka patut buat perkara sama," katanya.

Sebelum itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil memberitahu hadirin bahawa terdapat masalah yang berlaku kepada laman web yang memaparkan calon-calon Parlimen PH.

Artikel Berkaitan:


Anwar isytihar harta bernilai RM11.2 juta

Dalam laman web PKR, Anwar telah mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM11.2 juta, sebahagian besar daripada aset beliau iaitu RM10.4 juta adalah daripada pemilikan empat unit hartanah yang dibeli antara tahun 2005 hingga 2022.

Antara aset hartanah dimilikinya adalah sebuah tanah berserta rumah yang terletak di Segambut Dalam, Kuala Lumpur bernilai RM9 juta yang dibeli pada tahun 2005 secara tunai pada ketika itu dengan harga RM4 juta.

Menurut dokumen tersebut yang merekodkan pengisytiharan harta setakat 31 Oktober lalu, pembelian hartanah itu dibuat hasil daripada jualan rumah di Jalan Setiamurni 1 Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Tiga lagi aset hartanah dimilikinya adalah unit tanah di Port Dickson, Negeri Sembilan bernilai RM1 juta; tanah di Bentong, Pahang (RM300,000); tanah di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (RM50,000).

Sementara itu, jumlah keseluruhan aset tunai dan simpanan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) antaranya di institusi kewangan dan akaun pelaburan adalah bernilai RM828,668.

Anwar yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Port Dickson mempunyai pendapatan sebagai wakil rakyat berjumlah RM21,756.

Menerusi dokumen tersebut, beliau yang juga merupakan calon PH bagi Parlimen Tambun dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini direkodkan tidak memiliki sebarang aset dalam bentuk kenderaan, barang kemas dan karya seni dan komitmen hutang.

Pada PRU15, PKR menetapkan supaya setiap calon yang mewakili parti itu untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

No Image Caption