Pasang cip gajah usaha lindungi hidupan liar

Abdul Latiff menunjukkan gambar gajah dipindah di Kampung Chetel, Lata Rek, Kuala Krai.
Abdul Latiff menunjukkan gambar gajah dipindah di Kampung Chetel, Lata Rek, Kuala Krai.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyandang Parlimen Kuala Krai akan meneruskan hasrat memasang kolar penjejak (cip) pada gajah-gajah di hutan di daerah ini sebagai usaha melindungi hidupan liar sekirannya diberi mandat mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, penggunaan cip menerusi teknologi satelit itu dapat mengesan sekiranya hidupan tersebut berpindah ke kawasan lain atau keluar dari habitat asal.

Katanya, cadangan itu sudah dibincangkan pada peringkat awal dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

“Berlaku konflik antara haiwan dan manusia seperti gajah masuk kampung dan memusnahkan tamanan penduduk serta membahayakan keselamatan kedua-dua pihak.

“Jika cip dipasang, kedudukan gajah itu akan dapat dikesan bagi melindungi penduduk dan gajah daripada sasaran pemburu haram,” katanya pada sidang akhbar calon (Pakatan Harapan-Pas) di Pejabat Penerangan Pas Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, operasi melindungi mamalia itu juga diteruskan oleh Perhilitan dengan memindahkan dua gajah yang masuk ke perkampungan penduduk di Kampung Chetel, Lata Rek, Kuala Krai.

“Saya dimaklumkan dua gajah itu berjaya ditangkap pada Khamis lalu dan akan dibawa oleh Perhilitan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh, Pahang hari ini.

“Ibu dan anak gajah ini terpisah dari kawanan dan berkeliaran di kampung berkenaan kebelakangan tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau dari Pas bertanding bagi mempertahankan kerusi tersebut dan berjanji menangani masalah banjir secara holistik dengan meningkatkan kualiti infrastruktur serta penempatan penduduk.

“Ada penempatan penduduk yang perlu dipindahkan dan kemudahan seperti jambatan di lokasi rendah harus dinaik taraf.

“Selainnya, 10 tempat menarik di Kuala Krai seperti Gua Keris, Gua Ikan, Mini Zoo Kuala Krai dan beberapa air terjun akan diperindahkan untuk menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa bagi menambah nilai pendapatan penduduk,” katanya.

Abdul Latiff mula terlibat dalam politik sejak 2002 dan menjawat jawatan Timbalan Exco Belia dan Sukan Kelantan bermula 2008 hingga 2013 serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Kelantan (2013-2018).

Penyandang Kuala Krai sepenggal bermula 2018 hingga 2022 itu akan bertembung tiga penjuru pada PRU15 dengan Datuk Mohamed Zulkepli Omar (Barisan Nasional) dan Mohd Hisyamuddin Ghazali (Pakatan Harapan).

PRU lalu, Abdul Latiff menang majoriti 7,992 undi.