KITA @ Cybersouth mampu milik

Sebanyak 5,103 unit telah terjual sejak dilancarkan pada tahun 2018

Pangsapuri perkhidmatan KITA Sejati menampilkan rekaan yang praktikal bermula harga RM270,000.
Pangsapuri perkhidmatan KITA Sejati menampilkan rekaan yang praktikal bermula harga RM270,000.
A
A
A

PETALING JAYA - Projek perumahan KITA @ Cybersouth yang terletak di Dengkil, Selangor semakin mendapat perhatian menggalakkan daripada pembeli terutamanya mereka yang mahu mendapatkan rumah pada harga berpatutan dan mampu milik.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan berkata, setakat ini kira-kira 5,103 unit di dalam projek dibangunkan syarikatnya itu telah terjual sejak ia dilancarkan pada tahun 2018.

Beliau berkata, prestasi jualan itu melibatkan semua jenis rumah di KITA @ Cybersouth yang meliputi pangsapuri perkhidmatan, rumah bandar dan rumah teres dua tingkat serta satu tingkat.

HOCK GUAN
HOCK GUAN



Hock Guan berkata, harganya yang berpatutan antara tarikan utama orang membeli kediaman di KITA @ Cybersouth.

Menurut beliau, ini kerana pembeli boleh mendapatkan kediaman idaman yang berkonsepkan pembangunan bandar bersifat inklusif dan selesa pada harga antara RM270,000 hingga RM590,000.

“Selain daripada unit pangsapuri perkhidmatan dengan harga bermula RM270,000, KITA @ Cybersouth juga menawarkan rumah bandar berharga di bawah RM500,000,” katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian.

Disebabkan itu katanya, kediaman di bawah KITA @ Cybersouth sangat sesuai untuk pembeli rumah pertama yang baru bekerja dan termasuk pekerja kerajaan memandangkan kedudukannya terletak hanya 2.5 kilometer (km) dari pusat pentadbiran di Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hock Guan, projek pembangunan dibina di atas Tanah Rizab Melayu itu juga terletak berdekatan beberapa pusat pendidikan dan pengajian tinggi serta pusat penjagaan kesihatan, selain mempunyai kemudahan akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambahnya, projek perumahan yang juga menekankan elemen gaya kehidupan urban itu turut dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur terancang bagi memenuhi keperluan sosial penduduk.

Rekaan praktikal

Mengenai produk terbaharu KITA @ Cybersouth iaitu projek pangsapuri perkhidmatan KITA Sejati, Hock Guan berkata, ia menampilkan rekaan yang praktikal bermula harga RM270,000.

Katanya, pembinaan projek terbaharu itu menyasarkan pembeli daripada kumpulan yang memiliki keluarga kecil atau baru berumah tangga.

“KITA Sejati juga bakal dilengkapi kemudahan berasaskan kekeluargaan. Pada masa sama, projek ini turut dilengkapi dengan kawalan keselamatan 24 jam bagi menjamin kesejahteraan penduduk,” ujarnya.

Apa yang menarik, LBS turut menawarkan pakej insentif yuran guaman percuma, pengecualian duti setem termasuk barangan elektrik percuma kepada pembeli unit mampu milik yang berharga RM270,000 di KITA Sejati.

Ujarnya, LBS juga bakal melancarkan pembangunan fasa baharu dalam projek KITA @ Cybersouth, iaitu KITA Bestari pada suku pertama tahun hadapan yang bernilai RM411.4 juta dan melibatkan pembinaan sebanyak 817 unit.

Katanya, projek itu terdiri daripada rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat dan rumah bandar.

Laman duduk santai turut disediakan di kawasan pangsapuri perkhidmatan KITA Sejati.
Laman duduk santai turut disediakan di kawasan pangsapuri perkhidmatan KITA Sejati.



Prestasi positif

Mengulas mengenai trend pembelian rumah dan hartanah di dalam negara ketika negara memasuki fasa pasca pandemik Covid-19, beliau optimis jualan kediaman terutama rumah mampu milik akan terus menunjukkan prestasi yang positif.

Malah katanya, sambutan baik daripada pembeli terhadap jenis rumah itu menunjukkan sambutan memberangsangkan walaupun ketika negara berada dalam tempoh penularan wabak tersebut.

Mengambil contoh salah satu daripada projek pembangunan rumah mampu milik dibangunkan melalui anak syarikatnya MGB Berhad iaitu Idaman BSP yang terletak di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, beliau berkata, ia berjaya mencapai kadar tempahan dan pembelian sehingga 92 peratus daripada 1,312 unit ditawarkan.

“Jadi pembeli memang berminat terhadap kediaman sebegini lebih-lebih lagi ia turut dilengkapi dengan fasiliti seperti kabinet, penghawa dingin dan sebagainya,” kata Hock Guan.

Idaman BSP merupakan projek perumahan di bawah Rumah Selangorku Idaman MBI yang menawarkan rumah seluas 1,000 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga dari RM250,000.

Hock Guan berkata, LBS juga berjaya mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.6 bilion pada tahun 2021 walaupun ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Setakat 27 September lalu, LBS juga berjaya merekodkan jualan RM1.53 bilion dan baki tempahan menunggu kelulusan pinjaman sebanyak RM454 juta.

“Dengan mengambil kira trend tersebut, kami menjangkakan permintaan khususnya terhadap projek perumahan mampu milik akan terus mendapat sambutan pada ketika ini,” ujarnya.

Bantuan kewangan

Menyedari akan keperluan membantu rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman, LBS sentiasa menyediakan beberapa strategi pelan pemasaran dan bantuan kewangan kepada bakal pembeli.

Kata Hock Guan, inisiatif menerusi kempen yang telah dijalankan sejak dua tahun lalu menyediakan kemudahan seperti pengecualian duti setem pinjaman dan duti setem Memorandum Permindahan (MOT), yuran guaman percuma, yuran tempahan rendah dan termasuk pemberian cabutan bertuah.

Katanya, LBS menerusi kempen LBS Fabulous Extra 2022-23 turut mengadakan cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan hadiah berjumlah RM1.5 juta bagi menghargai pembeli.

Menurut beliau, sebanyak 2,000 pembeli bakal dipilih sebagai pemenang dengan hadiah utama terdiri daripada kereta jenama Perodua Axia, motosikal, barang kelengkapan rumah dan basikal.