RISDA peruntuk RM508.02 juta untuk pekebun kecil getah

RISDA memperuntukkan RM508.02 juta bagi melaksanakan program pembangunan penanaman semula getah di seluruh negara. - Foto Bernama
RISDA memperuntukkan RM508.02 juta bagi melaksanakan program pembangunan penanaman semula getah di seluruh negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) memperuntukkan RM508.02 juta bagi melaksanakan program pembangunan penanaman semula getah di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan program produktiviti dan pemasaran, program hasil baharu serta program keusahawanan.

Di Pahang, beliau berkata, RISDA negeri telah berjaya melaksanakan penanaman semula getah seluas 15,813 hektar daripada sasaran 16,596 hektar yang ditetapkan.

"Saya yakin sasaran itu dapat dicapai pada tahun ini demi kemakmuran komuniti pekebun kecil Pahang.

"Getah merupakan satu-satunya tanaman yang masih diberi bantuan penuh oleh kerajaan sehingga kini. Ini tidak termasuk lagi dengan bantuan peningkatan ekonomi yang diterima pekebun kecil setiap tahun,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian pada majlis Program Pekebun Kecil Makmur di Kuala Lipis dekat sini pada Selasa. Kenyataan media program itu diedarkan kepada media di sini.

Selain itu, beliau berkata, hasil daripada peningkatan subsidi bantuan penanaman semula getah kepada RM13,710 sehektar berbanding RM9,230 sebelum ini untuk Semenanjung Malaysia, memberi manfaat dan impak besar kepada semua pekebun kecil.

Kerajaan, menurut Abdul Rahman menyalurkan pelbagai bantuan termasuk menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan RISDA, menyalurkan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil bagi meringankan beban ditanggung golongan berkenaan dalam meneruskan kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ini kerana kerajaan sedar pekebun kecil mengalami masalah produktiviti rendah akibat keadaan cuaca, kekurangan tenaga kerja dan kestabilan harga pasaran.

Program hari ini melibatkan kira-kira 600 pekebun kecil dan pemimpin setempat yang turut menyaksikan Abdul Rahman menyampaikan sumbangan untuk produktiviti RISDA dan penyampaian bantuan kepada penduduk. - Bernama