Kerajaan negeri siap sedia kemungkinan banjir: MB

Amirudin menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan kerajaan negeri memantau keadaan paras sungai dan bersiap sedia kemungkinan banjir.
Amirudin menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan kerajaan negeri memantau keadaan paras sungai dan bersiap sedia kemungkinan banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri bersiap sedia kemungkinan banjir susulan kenaikan beberapa paras sungai di Selangor, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Saya telah berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Datuk Haris Kasim berkenaan paras beberapa sungai di Selangor yang semakin meningkat akibat hujan lebat dan berterusan.

"Kerajaan Negeri akan memantau keadaan semasa dan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat antaranya Seksyen 17, Seksyen 24, Seksyen 25, dan Padang Jawa di sini susulan hujan lebat berterusan pada jam 3 petang.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya telah membuat pemantauan banjir di beberapa lokasi dan mendapati paras air meningkat susulan longkang tersumbat.

Menurutnya, antara kawasan yang dipantau termasuk di Taman Sri Muda, Kota Kemuning, Seksyen 17 ke Seksyen 24 dan Seksyen 32, Bukit Naga.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati kawasan sekitar Taman Sri Muda masih hujan dan longkang dipenuhi air.

"Tiada kerja-kerja penyelamatan dibuat, sekadar membuat pemantauan," jelasnya.

Beliau berkata, anggota bertugas telah menasihatkan penduduk di kawasan tersebut untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan terus menghubungi JBPM jika keadaan semakin buruk.

Dalam pada itu, menerusi laman sesawang rasmi Public Infobanjir setakat jam 6.45 petang melaporkan paras air di Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang dan Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning melepasi paras bahaya pada bacaan 17.41 meter (m) dan 3.06m.

Selain itu, terdapat tiga sungai yang mencatatkan paras air pada tahap amaran iaitu Sungai Bernam di Rimba KDR 2.07m; Sungai Kandis di Kampung Jawa (5m) dan Sungai Klang di Bandar Klang 2.78m.

Sementara itu, lima sungai lain merekodkan bacaan paras air pada tahap waspada iaitu Sungai Bernam di Kampung Sungai Silesek pada ketinggian 26.39 m; Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang (22.94 m); Sungai Langat di Batu 9 (38.78 m); Sungai Binjai di Pekan Meru (3.44 m) dan Sungai Semenyih di Kampung Pasir (49.43 m)