Karakter baharu Malaysian Tigers

Arul. -Foto: FB MHC
Arul. -Foto: FB MHC
A
A
A

MALAYSIA mempamerkan wajah 'baharu' dalam sukan hoki menerusi watak positif para pemain biarpun bermula perlahan pada saingan Piala Sultan Azlah Shah (PSAS) 2022 di Ipoh, Perak ketika ini.

Karakter itu ditunjukkan anak didik Arul Selvaraj untuk menempah slot final selepas membenam Jepun 4-2 dalam aksi terakhir round robin di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada Isnin.

Arul nyata bangga dengan persembahan para pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi untuk layak ke perlawanan akhir menentang Korea Selatan pada Khamis.

“Ini adalah pasukan 'baharu' Malaysia yang mempunyai disiplin dan karakter yang tinggi dalam berpasukan.

“Walaupun telah mendahului pihak lawan tetapi tetap bersedia serta berjuang hingga tamat perlawanan,” katanya.

Pada aksi itu pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim meledak dua gol dan turut mencatat nama selaku penjaring ialah Nik Aiman Nik Rozemi dan Syafiq Sumantri.

Jepun pula memperoleh jaringan menerusi Kaito Tanaka dan Shota Yamada.

Di sebalik kejayaan itu, Arul turut meluahkan rasa gusar terhadap kelekaan pemain yang mudah memberikan pasukan lawan pukulan sudut penalti.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang membimbangkan saya adalah pemain mudah memberikan pukulan sudut penalti dan dilayangkan kad di akhir permainan.

“Mungkin mereka cemas dan terlalu teruja, tetapi kita perlu belajar untuk menjadi lebih tenang. Sesuatu yang perlu saya usahakan,” katanya.

Kali terakhir skuad Malaysian Tigers mara ke pentas final PSAS ialah 2014, namun tewas 3-8 kepada Australia.

Perlawanan akhir edisi ke-29 ini penting buat Malaysia dalam misi membalas dendam ke atas Korea Selatan setelah tewas 1-2 pada Piala Asia di Jakarta, Jun lalu.

Korea Selatan mara ke perlawanan akhir selepas menduduki tangga teratas aksi round robin apabila mencatat empat kemenangan dan sekali seri.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan tersebut ialah muncul naib juara sebanyak lima kali pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Dalam pada itu, Afrika Selatan akan bertemu dengan Mesir bagi perlawanan penentuan tempat kelima, manakala Jepun pula akan bertemu dengan Pakistan bagi penentuan tempat ketiga dengan kedua-dua perlawanan berlangsung pada Rabu.