1MDB rugi AS$700 juta ekoran pendapat perundangan firma guaman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa pendapat perundangan oleh seorang rakan kongsi sebuah firma guaman menyebabkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengalami kerugian sebanyak AS$700 juta.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika menyoal balas rakan kongsi yang juga Ketua Kumpulan Kewangan dan Amalan Projek firma guaman Wong & Partners, Lim Chin Hia semasa prosiding rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee berkata, seorang rakan kongsi firma guaman itu, Brian Chia telah mengeluarkan pendapat yang menjustifikasikan pindahan AS$700 juta kepada Syarikat Good Star Ltd (dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) melalui perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi Ltd (PSI).

Bagaimanapun, Chin Hian yang juga saksi pendakwaan ke-32 berkata, beliau tidak mengetahui isu berkenaan secara peribadi kerana tidak mengetahui siapa pemilik Syarikat Good Star.

Ekoran itu, saksi ini berkata, tiada sebarang ulasan boleh dibuat mengenai perkara yang dinyatakan oleh peguam yang mewakili penyandang kerusi Parlimen Pekan berkenaan.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan, pendapat perundangan Brian telah menguntungkan beberapa individu dalam 1MDB namun mengundang merugikan kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB.

Chin Hian: Saya tidak tahu bahawa Brian memberi pendapat perundangan berhubung pindahan dana AS$700 juta itu.

Muhammad Shafee: Adakah anda sedar walaupun wang itu dipindahkan ke Syarikat Good Star dan hilang selama-lamanya, Brian Chia memberi pendapat bahawa pindahan dana itu adalah ‘OK’?

Artikel Berkaitan:

Chin Hian: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan, pendapat itu hanya mahu melindungi individu tertentu dalam 1MDB.

Chin Hian: Saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi dan tidak boleh ulas.

Peguam itu kemudiannya menyoal saksi berkenaan dengan berkata, pendapat tersebut telah memberi manfaat kepada Jho Low dan pihak yang bersekongkol dengannya sehingga menyebabkan 1MDB kerugian AS$700 juta.

"Saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi dan tidak boleh ulas malah saya tidak pernah berjumpa dengan Jho Low," kata Chin Hian.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.