Dua mayat warga Nepal dituntut Sabtu ini

Lokasi kejadian yang mengakibatkan 12 mangsa maut dalam kejadian di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Ahad lalu.
Lokasi kejadian yang mengakibatkan 12 mangsa maut dalam kejadian di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Ahad lalu.
A
A
A

SEPANG - Dua lagi mayat mangsa warga Nepal yang terlibat dalam kemalangan bas pekerja di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dituntut waris dan pihak kedutaan Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, mayat Jagarnath Singh Danuwar, 28, dan Ramu Chaudhary, 38, masing-masing akan dituntut di Hospital Putrajaya serta Hospital Serdang dan proses tuntutan mayat setakat ini berjalan lancar.

"Semalam sembilan mayat mangsa kemalangan membabitkan empat wanita wanita warga Indonesia Fitri Nurjahari, 21, Ayu, 22, Rosvita Azura Afrianti, 22, Loka Harahap, 23, serta lima lagi mayat warga Bangladesh iaitu Golam Mostafa, 22, Md Sohel, 24, Al Amin, 25, Md Razib Munsi, 26, dan Mohin, 37, telah dituntut.

"Jenazah itu diterbangkan ke negara masing-masing menggunakan pesawat MAS," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas dakwaan mengatakan bas terbabit berlumba sebelum kejadian berlaku, Zulkifli berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan terbabit.

"Kita akan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dapatkan keterangan mangsa kemalangan serta saksi awam sebelum mengesahkan dakwaan terbabit.

"Kita juga masih menunggu laporan ujian darah pemandu bas, S Suresh, 43, untuk melihat lebih lanjut kes.

"Setakat ini jumlah kematian juga masih kekal seramai 12 orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, empat wanita warga Indonesia, lima lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal dan seorang lelaki rakyat tempatan yang juga pemandu bas terbabit.

Terdahulu, kejadian kira-kira jam 11.10 malam Ahad lalu itu berlaku apabila bas berkenaan dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 10 meter.

Dalam pada itu, Zulkifli turut mengesahkan bahawa pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah hadir ke Balai Trafik IPD KLIA untuk melihat lebih lanjut keadaan bas.

"Kita akan kerjasama dengan Puspakom untuk mendapatkan laporan teknikal sama ada bas ada masalah brek atau masalah kondisi lain," katanya.

Menurutnya, saksi awam yang mempunyai maklumat pergerakan bas terbabit boleh salurkan maklumat terbabit dengan hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sivam di talian 017-3290749 atau balai berdekatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.