Ahli Pas bantu kempen lawan akan dipecat: Takiyuddin

Takiyuddin menunjukkan Perlembagaan Pas yang berkaitan dengan keahlian parti.
Takiyuddin menunjukkan Perlembagaan Pas yang berkaitan dengan keahlian parti.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas memberi amaran kepada mana-mana ahli partinya yang membantu pihak lawan berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bab keempat perlembagaan parti itu menyebut seseorang ahli Pas dianggap melanggar disiplin jika melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.

“Saya memberi amaran berdasarkan perlembagaan iaitu mana-mana ahli yang membantu pihak lawan akan dikenakan tindakan disiplin.

“Kalau ahli membantu calon parti lain yang menentang Pas dalam pilihan raya, jadi itu jelas melakukan kesalahan dan akan dipecat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parlimen Kota Bharu di sini pada Isnin.

Menurut beliau yang juga penyandang Parlimen Kota Bharu, keahlian seseorang ahli Pas juga boleh terhenti atas permintaan sendiri ahli untuk keluar parti dan ahli-ahli yang dikenakan tindakan tatatertib.

“Keahlian secara automatik terhenti sekiranya ahli mengisytiharkan untuk keluar Pas atau menyertai parti politik lain mengikut Fasa 15(1)(c) Perlembagaan Pas.

“Kalau nak kembali jadi ahli, mereka boleh mohon balik. Nak beri penjelasan dahulu pun, kita beri peluang sebelum diambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, dua ahli Pas iaitu Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi masing-masing bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Nerus dan Tumpat pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Menurut Takiyuddin, mereka secara automatik bukan lagi ahli Pas.

“Kalau masih ada nak mengaku ahli atau menyebut Pas semasa berkempen, itu dialu-alukan kerana Pas tidak terjejas, tidak rugi apa-apa pun,” katanya.