Cheng Hoe harap Selangor tampil aksi sama di Paroi

Antara aksi Selangor menentang NSFC di stadium MBPJ pada Ahad.
Antara aksi Selangor menentang NSFC di stadium MBPJ pada Ahad.
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe berharap corak permainan yang sama dapat dipamerkan oleh anak buahnya pada perlawanan timbal balik kedua suku akhir menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi Sabtu ini.

Menurut Cheng Hoe, beliau nyata berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC walaupun agak tumpul di bahagian serangan.

“Bagi saya sebagai jurulatih, saya sangat berpuas hati dengan komitmen para pemain dan sikap mereka juga bagus. Saya sangat gembira berada di sini untuk memperbaiki para pemain.

“Corak taktikal memang saya mahu pemain kekalkan, memang menjadi tanda tanya kepada pasukan tetapi saya yakin pemain mampu mengekalkan corak tersebut ketika bermain di Negeri Sembilan.

“Jadi kita kena pergi dengan satu mindset positif kerana bekalan 2-0 bukan pasti untuk kita layak ke separuh akhir tetapi saya mahu pemain bijak mengatasi situasi tersebut kerana sudah tentu bukan senang bermain di Seremban nanti,” katanya ketika sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Pada aksi tersebut, Selangor kini selangkah untuk mara ke separuh akhir selepas menewaskan NSFC 2-0 pada suku akhir pertama malam tadi.

Gol-gol Selangor dijaringkan pemain import Herlison Caion pada minit ke-56 dan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pada minit akhir perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan NSFC, K Devan mengakui punca kekalahan pasukannya pada perlawanan ini adalah disebabkan barisan pertahanan yang agak longgar selain pemain-pemainnya banyak memberi ruang kepada pemain Selangor FC melancarkan serangan.

Artikel Berkaitan:

“Saya nampak kita banyak memberi ruang kepada pemain tengahnya. Saya nampak pertahanan kita kurang baik pada separuh masa pertama.

“Pada separuh masa pertama, saya mengakui Selangor lebih baik daripada pasukan Negeri Sembilan FC. Kita banyak bertahan dan kita tidak dapat mengawal permainan dan kurang agresif.

“Turning point yang sangat penting dalam perlawanan ini apabila kita lepaskan satu gol, kemudian kita bermain dengan 10 orang,”ujarnya.