Dua ditahan, tiga kertas siasatan dibuka hari kedua kempen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai dua individu ditahan di Kedah dan Pahang manakala tiga kertas siasatan dibuka pihak polis di seluruh negara menjelang hari kedua berkempen pada Ahad.

Pengarah PRU Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tiga kertas siasatan dibuka berhubung pelbagai kesalahan masing-masing satu di Kedah, Kuala Lumpur, dan Pahang.

"Satu kertas siasatan dibuka di Kedah mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Pilihan Raya (APR)1954, serta Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan manakala satu di Pahang di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Manakala di Kuala Lumpur satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998," katanya dalam laporan operasi harian PRU15 pada Isnin.

Hazani berkata, sebanyak 81 ceramah dianjurkan tanpa permit dikesan di seluruh negara manakala 814 ceramah telah diberikan kebenaran.

"Jumlah ceramah tanpa permit tertinggi dicatatkan di Negeri Sembilan sebanyak 45 dan Perak 16.

"Manakala jumlah permit ceramah dikeluarkan paling tinggi di Sabah sebanyak 157, diikuti Perak (109) dan Johor (104)," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: