Tujuh suspek terbalik, rosakkan kereta dituduh esok

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.( Gambar dalm : Mohd Sohaimi)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.( Gambar dalm : Mohd Sohaimi)
A
A
A


PASIR GUDANG - Seorang lagi suspek yang terlibat dalam kes merosak dan menterbalikkan kereta di sebuah stesen minyak di Taman Kota Masai, Khamis lalu masih diburu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, setakat ini sembilan individu sudah ditahan pada Jumaat.

"Sembilan suspek yang ditahan berusia antara 16 hingga 41 tahun itu mendapat perintah tahanan reman empat hari bermula semalam hingga Selasa.



"Siasatan ke atas sembilan suspek itu sudah selesai dan kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Tujuh daripada mereka akan dituduh di mahkamah esok mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Jumaat, tular di media sosial beberapa video memaparkan sekumpulan lelaki merosakkan sebuah kereta Perodua Myvi di stesen minyak terbabit selepas dikatakan berang dengan pemandunya.

Dalam video terbabit kelihatan kenderaan itu turut diterbalikkan dan berlaku pelbagai kerosakan pada kereta berkenaan.

Mohd Sohaimi sebelum ini dilaporkan berkata, kekecohan itu berlaku selepas kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan.

Menurut beliau, pemandu kereta mendakwa selepas kemalangan itu, datang sekumpulan individu tidak dikenali merosakkan dan menterbalikkan kenderaannya.
Artikel Berkaitan: