Pemulihan setara bantu lonjak ekonomi Malaysia

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu memastikan proses pemulihan yang sama rata jika ingin membina semula ekonomi negara ke arah yang lebih baik dan kukuh selepas dua tahun dilanda pandemik Covid-19, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, kerajaan perlu bertindak secara langsung dan campur tangan apabila perlu memandangkan kadar pemulihan negara kini tidak sekata dengan beberapa sektor pulih lebih baik berbanding sektor lain.

"Kami memerlukan proses pemulihan yang seimbang supaya jurang perbezaan gaji rakyat Malaysia dapat dihapuskan. Negeri tertentu lebih bergantung kepada sektor tertentu. Contohnya, pelancongan dan pembuatan, pemulihan pelancongan lebih perlahan berbanding pembuatan, negeri bergantung kepada pelancongan, akan pulih lebih perlahan berbanding negeri yang fokusnya pada pembuatan.

"Kadar pemulihan yang tidak sekata antara negeri akan melebarkan jurang pendapatan dan pembangunan antara negeri. Sebab itu saya telah menekankan penubuhan Majlis Pemulihan Negara peringkat negeri sebelum ini,” katanyad dalam satu temu bual baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga berharap wujudnya keperluan yang mendesak dalam kerajaan untuk mengurus proses pemulihan kerana ia mesti sejajar dengan matlamat pembangunan negara yang lebih panjang, sebagaimana tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan, jika pemulihan tidak diberi keutamaan yang sewajarnya, penularan pandemik selama dua tahun akan membawa kepada kehilangan selama sedekad buat Malaysia dan parut tersebut akan kekal dalam beberapa sektor ekonomi.

"Ia tidak boleh menjadi normal. Saya telah berkali-kali ingatkan perkara ini berkali-kali. Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar. Jika kita tidak menguruskan proses pemulihan dengan baik, kesan pandemik akan berlarutan lebih lama,” katanya.

Muhyiddin berkata, penularan wabak Covid-19 juga memberi impak yang teruk kepada pendapatan isi rumah rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada dalam kelas pertengahan apabila lebih separuh daripada mereka yang diklasifikasikan dalam kategori M telah jatuh ke dalam kategori B.

Artikel Berkaitan:

Laporan daripada institusi dan institusi penyelidikan lain seperti Institut Penyelidikan Khazanah juga mendapati 70 peratus rakyat Malaysia berada dalam kumpulan 'terdedah' akibat wabak tersebut manakala dalam Laporan Mindshare mendapati bahawa 76 peratus daripada kumpulan B61 mempunyai purata pendapatan isi rumah di bawah RM2,965.

"Mereka merupakan kumpulan yang mampu membeli makanan untuk keluarga, tetapi terpaksa makan sekali sehari, dan harus memilih antara sumber protein dan khasiat lain. Ini membimbangkan dan mendatangkan kesan buruk bukan sahaja untuk momentum pemulihan tetapi agenda pembangunan negara secara keseluruhannya.

"Kumpulan kelas menengah yang semakin mengecut bukanlah prospek yang baik untuk mana-mana ekonomi kerana kita tahu bahawa kelas pertengahan memacu penggunaan dengan kuasa perbelanjaan mereka. Apabila pendapatan mereka berkurangan, mereka tidak dapat berbelanja, apa lagi berjimat, dan ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi kita dan kita akan terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana dan tidak dapat melonjak ke negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Justeru Muhyiddin menyarankan agar sistem kebajikan seperti e-Kasih dirombak sepenuhnya dan ia perlu disatukan dan disepadukan untuk menyalurkan bantuan dengan lebih baik apabila perlu, agar individu yang memerlukan bantuan harus diberikan bantuan segera tanpa terlalu banyak birokrasi.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan mesti mewujudkan ekonomi yang menumpukan kepada mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang berpatutan yang memberi tumpuan kepada peningkatan rantaian nilai melalui teknologi yang akan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi dengan menggunakan penyelesaian digital seperti Al, robotik, untuk meningkatkan produktiviti yang membolehkan pertumbuhan gaji yang mampan.

Muhyiddin turut mencadangkan kerajaan untuk memastikan Indeks Garis Kemiskinan yang telah disemaknya ketika menjadi Perdana Menteri pada 2020 iaitu daripada RM980 kepada RM2,208, terus diselaraskan.

"Ini akan membolehkan kita menyasarkan bantuan kepada golongan miskin dengan lebih baik dan serius dalam usaha mengurangkan kemiskinan termasuk kemiskinan bandar," katanya. - Bernama