Usah rajuk terlalu lama

Mohd Tajudin (tiga dari kanan) menggerakkan jentera dan memberikan sokongan padu kepada calon BN, Maizatulakmam (dua dari kanan).
Mohd Tajudin (tiga dari kanan) menggerakkan jentera dan memberikan sokongan padu kepada calon BN, Maizatulakmam (dua dari kanan).
A
A
A

SIK - Nama-nama besar yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar berjiwa besar, berlapang dada dan tidak rajuk terlalu lama.

Pengarah Pilihan Raya BN Parlimen Sik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, setiap pemimpin harus mempunyai prinsip agar mendahulukan parti berbanding kepentingan diri.

Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sik dan bekas ADUN Belantek turut mengharapkan agar mantan pemimpin dan veteran UMNO untuk sama-sama menyumbang kepada kemenangan BN pada PRU15 kali ini.

"Nak bentuk sebuah kerajaan adalah parti, di sini, apabila ALLAH dah anugerahkan Maizatulakmam Othman (BN) sebagai calon Parlimen Sik, kita kena sokong apa yang diputuskan pucuk pimpinan.

"Kalau nak merajuk, sat (sekejap) sahajalah, yang kawan-kawan lain tu kembali ke landasan yang betul, yang penting parti mesti menang dan kita kena bentukkan kerajaan," katanya.

BN mempertaruhkan Maizatulakmam yang merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian bagi bertanding kerusi Parlimen Sik pada PRU15.

"Dulu saya pernah jadi wakil rakyat, dulu dia (Maizatulakmam) tolong saya, la ni (sekarang ini) saya tolong dia pula.

"Kami UMNO Sik beri sokongan padu, jangan sesiapa di sana duk cucuk sana sini, 'solid' kepada calon, solidariti BN Sik, kami akan pastikan semua jentera bergerak di semua peringkat bahagian, wanita, pemuda, puteri dan di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Maizatulakmam yang merupakan muka baharu akan bertanding tiga penjuru bersama penyandang Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas) dan Datuk Latipah Md Yatim (Amanah).

Pada PRU14, Ahmad Tarmizi memperoleh 20,088 undi mengalahkan Mansor Abd Rahman (BN) yang memperoleh sebanyak 14,870 undi dan Azli Uda (PH) memperoleh sebanyak 6,970 undi.

Ahmad Tarmizi menang dengan majoriti 5,218 undi.

Berdasarkan rekod, seramai 63,165 pengundi layak mengundi di Parlimen Sik pada PRU15 dengan jumlah 58,458 pengundi Melayu, 911 pengundi Cina, 88 pengundi India dan 3,616 pengundi lain-lain.