'Saya anak jati Negeri Sembilan' -Zulkefly

Calon PH Parlimen Jelebu, Datuk Zulkefly Mohamad Omar ( dua dari kanan) ketika bertemu orang ramai di Kuala Klawang sambil ditemani Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir ( tiga dari kanan).
Calon PH Parlimen Jelebu, Datuk Zulkefly Mohamad Omar ( dua dari kanan) ketika bertemu orang ramai di Kuala Klawang sambil ditemani Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir ( tiga dari kanan).
A
A
A

JELEBU - Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jelebu, Datuk Zulkefly Mohamad Omar menjelaskan beliau bukanlah orang luar yang dihantar gabungan parti itu untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Malah katanya, beliau pernah belajar di sekolah rendah dan menengah di Jelebu pada tahun 80-an sebelum meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Siapa yang dakwa saya orang luar tu? Kalau saya berasal dari luar Negeri Sembilan, contohnya dari Kelantan atau Kedah kemudian jadi calon di sini, itu bolehlah cakap saya orang luar.

"Saya faham hal itu, tetapi saya adalah anak jati Negeri Sembilan malah daerah Jelebu tidak asing bagi saya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau orang luar dan tidak sesuai bertanding di kawasan Parlimen Jelebu.

Jelasnya, adalah tidak betul kalau ada yang beranggapan begitu. Selain itu, saudara-maranya ramai yang tinggal di Jelebu dan kerap datang ke sini bertemu mereka.

"Ramai saudara mara saya menetap di sini antaranya di Kenaboi, Kampung Chennah, Peradong dan Petaseh malah jika mengikut susur galur sejarah keluarga (Suku Biduanda),moyang saya antara yang terbabit dalam pembukaan daerah Jelebu pada masa dahulu.

"Jadi secara amnya, Jelebu bukan daerah yang asing kepada saya. Justeru, apabila saya dicalonkan oleh parti Amanah untuk bertanding di sini, saya terima dengan seikhlas hati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Zulkefly memiliki Ijazah Sarjana dalam Sains Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia ( UPM) dan Ijazah Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara ( UiTM).

Dalam pada itu, beliau turut berkeyakinan pengundi di Parlimen Jelebu akan menyokongnya sekali gus membolehkan PH merampas kerusi parlimen berkenaan yang sebelum ini disandang oleh Barisan Nasional (BN).