Pembinaan ECRL Puncak Alam diteruskan: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (kiri) bergambar bersama pemenang ketika program Hari Keluarga Bandar Puncak Alam di Bandar Puncak Alam pada Ahad.
Tengku Zafrul (kiri) bergambar bersama pemenang ketika program Hari Keluarga Bandar Puncak Alam di Bandar Puncak Alam pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan akan meneruskan pembinaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam seperti mana yang diumumkan pada Jun lalu.

Calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada mulanya ada beberapa stesen ECRL tidak diluluskan dan belum mendapat kelulusan termasuk stesen Puncak Alam.

Bagaimanapun katanya, hasil perbincangan beliau dengan Kementerian Pengangkutan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan agensi berkaitan telah bersetuju meluluskan stesen ECRL berkenaan.

"Permintaan ini datang daripada penduduk di sini kerana laluan sudah ada cuma mereka inginkan pembinaan sebuah stesen ECRL di sini," katanya ketika sidang akhbar pada Hari Keluarga Bandar Puncak Alam di Bandar Puncak Alam sini pada Ahad.

Tengku Zafrul berkata, lokasi sebenar pembinaan stesen itu ialah di Alam Suria Puncak Alam.

Ditanya bilakah kerja-kerja pembinaan stesen ECRL itu, beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan untuk maklumat lanjut

"Saya hanya memanjangkan permintaan penduduk di sini sahaja yang amat mengharapkan sebuah stesen ECRL dibuka di kawasan ini," katanya.

Pada Jun lalu, Tengku Zafrul selalu Menteri Kewangan mengumumkan kelulusan bagi pembinaan stesen ECRL di Puncak Alam.

Artikel Berkaitan:

Projek ECRL dijangka beroperasi pada 2027 itu mampu menampung 5.6 juta penumpang setahun atau maksimum 440 penumpang bagi setiap perjalanan menerusi enam gerabaknya.

Jajaran ECRL itu melibatkan Selangor iaitu Seksyen C akan dibahagikan kepada dua iaitu Seksyen C1 dari Mentakab ke ITT Gombak dan Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah.

Bagi Seksyen C2, ia melibatkan jajaran sepanjang 74.25 kilometer (km) yang merangkumi empat stesen iaitu Serendah Baru (penumpang dan kargo), Puncak Alam (stesen penumpang), Kapar (stesen penumpang) serta Pelabuhan Klang (penumpang dan kargo).